Friday, 25 July 2014

Dapur Jalanan kutuk tindakan pasang palang besi di bangku awam sekitar KL

Dapur Jalanan Kuala Lumpur mengutuk sekeras-kerasnya pemasangan palang besi di bangku-bangku awam sekitar Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Dapur Jalanan Kuala Lumpur mengutuk sekeras-kerasnya pemasangan palang besi di bangku-bangku awam sekitar Kuala Lumpur oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dapur Jalanan berkata tindakan itu adalah kejam dan tidak bertimbang rasa, serta satu bentuk serangan terhadap warga miskin kota.

Pihak itu juga berkata tindakan agresif memasang palang besi di bangku-bangku awam itu juga telah mensabotaj usaha semua pihak dalam mencari penyelesaian isu warga miskin kota dan golongan gelandangan.

“Seperti yang diketahui, organisasi-organisasi yang prihatin tentang warga miskin kota termasuk Dapur Jalanan Kuala Lumpur sedang dalam perbincangan dan perundingan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai isu warga miskin kota dan gelandangan.

“Mesyuarat sudah diadakan dua kali serta masuk ke peringkat merangka penyelesaian. Pertemuan secara terus di antara pihak kementerian dan komuniti warga miskin kota sedang dirancang.

“Masalah timbul kerana tindakan DBKL itu membelakangi semangat perundingan dan perbincangan,” kata Dapur Jalanan dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Dapur Jalanan mengingatkan DBKL supaya menghormati semangat perundingan.

“Dapur Jalanan sudah dari awal lagi menyeru kepada pihak kerajaan untuk menghentikan segala operasi “pembersihan” dan penangkapan serta apa jua bentuk tindakan agresif kepada warga miskin kota.”

Gambar-gambar bangku dengan palang besi itu tersebar dengan meluasnya di laman media sosial dan pengguna media sosial telah menkritik tindakan itu. - Astro Awani 

Perdana Menteri Ukraine umum letak jawatan


Perdana Menteri Ukraine umum letak jawatan

KIEV: Perdana menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk umum perletakan jawatannya malam tadi.

Pengumuman mengejutkan itu selepas kerajaan gabungannya runtuh , sekali gus menjadikan negara itu terus bergelut dengan ketidak tentuan politik

Ukraine dilanda pergeseran politik ketika wilayah timurnya kini bergolak selepas dikuasai pemberontak.

Pakar antarabangsa pula menjalankan siasatan berhubung tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang terhempas akibat ditembak jatuh minggu lalu.

Mengumumkan pengundurannya, Yatsenyuk berkata, beliau mengambil tindakan itu berhubung isu 'pembubaran gabungan di parlimen dan sekatan terhadap inisiatif kerajaan'.

Sebelum itu beberapa parti meninggalkan gabungan yang membentuk kerajaan Ukraine.

Ekoran itu Presiden Petro Poroshenko dijangka mengumumkan pilihan raya awal dalam tempoh 30 hari.

Walaupun gencatan senjata diumum kerajaan dan pemberontak di lokasi pesawat MH17 terhempas berkuatkuasa serta-merta, pengeboman terus berlanjutan di kawasan berhampiran, termasuk di Donetsk.

Tentera Ukraine melaporkan empat anggota mereka terbunuh dalam tempoh 24 jam dalam gerakan menguasai semula kawasan perindustrian di timur negara itu daripada penguasaan pemberontak pro-Russia. - Astro Awani