Thursday, 24 July 2014

Bunuh staf Ambank: 8 Ogos keputusan pendakwaan

mahkamah

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos depan sebagai keputusan akhir pendakwaan bagi kes pembunuhan yang melibatkan kakitangan Ambank cawangan Subang Sentral, Norazita Abu Talib, 37, yang mati ditembak, tahun lalu.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati terhadap hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Terdahulu, saksi pendakwa yang ke 16, bekas Penyelia Stor Senjata Syarikat Kawalan Prima, Mohamad Rahli Mohamed,37, yang sebelum ini tidak sihat hadir ke mahkamah untuk sesi soal balas dengan peguam bela, S Selvi berhubung kes ini.

Mohamad Rahli bersetuju dengan Selvi bahawa Syarikat Kawalan Prima tiada mengeluarkan sijil kehadiran dan menembak.

Dia juga bersetuju dengan soalan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Selangor, Mohd Azari Haron, bahawa tertuduh, La Ode Ardi Rasila, 37,hadir untuk latihan menembak walaupun tiada sijil dikeluarkan.

Pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode, didakwa membunuh Norazita antara jam 6.00 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Lelaki itu turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mohd Azari dan Asyraf Md Kamal bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh diwakili peguam bela, Chong Kak Sen serta S Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung sejak 23 Jun lalu. - Sinar Harian 

Proton tawar pemeriksaan keselamatan 20 perkara percuma

PROTON mengambil serius keselamatan dan keselesaan pelanggannya.

KUALA LUMPUR: Sempena cuti Hari Raya Aidilfitri ini, Proton menawarkan pemeriksaan keselamatan 20 perkara secara percuma kepada pelanggannya di beberapa stesen Petronas terpilih.

Program anjuran bersama Petronas itu merupakan sebahagian daripada kempen Petronas Coffee Break.

Proton dalam satu kenyataan berkata selain pemeriksaan percuma, pelanggan juga akan diberikan nasihat mengenai aspek penyelenggaraan enjin dan kereta serta tunjuk ajar mengenai kaedah membezakan alat ganti tulen dan tiruan, selain hadiah sebagai tanda penghargaan.

"Proton mengambil serius keselamatan dan keselesaan pelanggannya. Melalui perkhidmatan dan tawaran yang disediakan pada kempen ini, kami berharap dapat menyumbang ke arah mewujudkan kesedaran kepada pelanggan dan pengguna jalan raya mengenai pentingnya penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Azmi Idris.

Katanya menerusi program ini, Proton berharap dapat membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang kerap berlaku pada musim perayaan.

Beliau berkata pada Khamis, pasukan Proton akan berada di Petronas 15.3 KM, stesen NKVE Damansara untuk pemeriksaan keselamatan percuma.

- Media Statement via Astro Awani