Friday, 18 July 2014

MH17: Amaran White House, jangan ubah bukti nahas

White House itu juga melahirkan kebimbangan pihak pemberontak Ukraine yang pro Russia akan cuba mengubah bukti


NEW YORK: White House pada Khamis memberi amaran agar tiada pihak yang cuba mengalihkan sebarang bukti nahas pesawat Penerbangan Malaysia yang terhempas di Ukraine selagi “siasatan menyeluruh dan telus" tidak dijalankan.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko dilaporkan telah bersetuju mengenai perkara itu dalam satu perbualan telefon. Ini bagi mengelakkan bukti dari serpihan pesawat diusik atau ditutup dalam insiden yang dipercayai berpunca dari tembakan peluru berpandu.

Obama memberi jaminan kepada Poroshenko yang pakar-pakar Amerika Syarikat akan memberikan bantuan serta merta dan segera bagi menyiasat punca pesawat itu terhempas bersama 298 penumpang.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh White House itu juga melahirkan kebimbangan pihak pemberontak Ukraine yang pro Russia akan cuba mengubah bukti dari serpihan pesawat bagi mengelak dari dipersalahkan.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat bagaimanapun yakin, pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak dengan peluru berpandu.

Obama dalam perjalanan dari Delaware ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Sebagai sebuah negara, ingatan dan doa kami adalah untuk ahli keluarga penumpang, dari mana pun asal mereka,” kata Obama di Wilmington, Delaware.

Sejurus tiba di New York, Obama menghubungi Setiausaha Negara John Kerry bagi membincangkan mengenai perkara itu.

Obama kemudiannya mengadakan mesyuarat keselamatan bersama pasukan keselamatan negara itu termasuk Ketua Staf White House Denis McDonough, Pengarah CIA John Brennan dan beberapa pegawai perisikan dan polisi luar negara.

Agensi via Astro Awani 

MH17: MAS sahkan 43 rakyat Malaysia termasuk 2 bayi dalam nahas


Pesawat MAS jenis Boeing 777 yang terhempas di sempadan Ukraine-Rusia. -gambar fail


KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan bahawa seramai 298 jumlah penumpang dan krew, termasuk tiga orang bayi terlibat di dalam nahas pesawat MH17.

MAS mengesahkan daripada 298 orang itu, 43 orang adalah rakyat Malaysia, 154 orang adalah rakyat Netherlands, 27 dari Australia, 12 dari Indonesia, sembilan dari United Kingdom, empat masing-masing dari Jerman dan Belgium, tiga dari Filipina serta satu dari Kanada.

Sementara itu kewarganegaraan 41 orang lagi masih belum dikenal pasti.

“MAS mengesahkan pesawat MH17 tidak membuat sebarang panggilan kecemasan.

“Laluan penerbangan itu sebelum ini telah diisytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

“MAS sedang dalam proses memaklumkan keluarga penumpang dan krew tentang kejadian ini,” kata MAS di dalam satu kenyataan media.

Pesawat MH17 yang terputus hubungan pada kira-kira 1415 (GMT) dari waypoint Tamak, sekitar 50km dari sempadan Ukraine dan Rusia sebelum disahkan terhempas.

Astro Awani