Thursday, 17 July 2014

Kiki (Peugeot putih) sudah mohon maaf

Status permohonan maaf yang dimuat naik oleh Kiki di akaun Facebook.
Status permohonan maaf yang dimuat naik oleh Kiki di akaun Facebook.

KUANTAN - Pemandu kereta Peugeot putih yang bertindak membuli pesara yang terlanggar keretanya di tempat letak kereta UTC Kuantan tampil memohon maaf dan mengakui kesalahannya.

Wanita berusia 30 tahun itu memohon maaf kepada Sim Siok Hong, 67, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang hari kejadian.

Sinar Harian difahamkan wanita itu juga dijangka tampil ke IPD Kuantan hari ini bagi merekodkan keterangan berhubung kejadian.

Wanita itu telah membuka akaun Facebook baharu semalam menggunakan nama Kiki Kerja Kahwin dan dia membuat permohonan maaf secara terbuka melalui akaun tersebut yang mendapat 8,896 likes sehingga jam 6.30 petang semalam.

“Saya mahu masyarakat menghormati privasi saya. Kadang-kadang orang ada membuat kesilapan. Mohon maaf tulus ikhlas daripada hati seorang rakyat Malaysia ini,” katanya.

Sementara itu, Digi Telecommunications telah menawarkan untuk membayar kos baik pulih kenderaan lelaki warga emas berkenaan.

Digi melalui laman Facebook rasminya berkata, mereka akan membayar kos baik pulih kereta lelaki terbabit kerana sifat empati yang ditunjukkannya.

Syarikat telekomunikasi itu juga menawarkan untuk membayar ganti rugi kepada wanita terbabit sekiranya dia dapat memaafkan lelaki warga emas itu. - Sinar Harian 

Mesut Ozil sedekah imbuhan kemenangan Piala Dunia kepada anak-anak Gaza

Pengumuman itu dibuat ditengah-tengah angka korban akibat serangan kejam rejim di Gaza meningkat kepada lebih 200 nyawa

TURKI: Pemain antarabangsa Jerman dan pemain lagenda kelab Inggeris Arsenal FC, Mesut Ozil mengumumkan akan mendermakan wang imbuhan hasil muncul juara Piala Dunia kepada anak-anak yang menderita di Gaza.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah angka korban akibat serangan kejam rejim di Gaza meningkat kepada lebih 200 nyawa, menurut beberapa laman web termasuk WorldBulletin.net.

Pemain berketurunan Turki itu menerima habuan berjumlah RM646,000 untuk kemenangan pasukan Jerman di separuh akhir dan hampir RM1.2 juta wang bonus selepas muncul juara Piala Dunia 2014 dari Kesatuan Bola Sepak Jerman.

Itu tidak termasuk imbuhan sampingan lain yang diperolehi untuk setiap perlawanan yang dimenangi sepanjang temasya itu.

Portal itu juga melaporkan media-sosial turut hangat memperkatakan tentang Ozil yang dikatakan dilihat membaca ayat Al-Quran di padang sejurus sebelum perlawanan akhir menentang Argentina dan mengucapkan kesyukuran apabila Jerman berjaya muncul juara.

Ozil sememangnya tidak pernah lekang dari kontroversi sebelum ini apabila pernah enggan berjabat tangan dengan seorang pegawai FIFA ekoran pendirian pegawai itu yang menyokong Israel.

Astro Awani