Saturday, 12 July 2014

Luna Maya kekok dengan Aaron Aziz

Filem Tembus arahan Ahmad Idham menggandingkan Luna Maya, Aaron Aziz dan Nur Fazura


KUALA LUMPUR: Meskipun pada mulanya aktres cantik dari seberang Luna Maya kekok bergandingan dengan pelakon popular Aaron Aziz, namun itu tidak menghalangnya untuk menjiwai watak sebagai seorang psiko menerusi filem terbaru berjudul ‘Tembus’.

Ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem ‘Tembus’ bertempat di e@Curve pada Khamis malam, Luna mengakui agak sukar untuk mendapatkan keserasian di awal penggambaran memandangkan ini merupakan kali pertama berlakon bersama aktor itu.

“Saya belum pernah berlakon Aaron dan sebelum ini saya hanya dengar sahaja namanya tetapi saya tahu dia amat popular di Malaysia.

“Jadi disaat saya ditawarkan untuk berlakon filem ini dan dimaklumkan akan bergandingan bersama Aaron, mana mungkin saya menolak.

“Saya akui pada awal penggambaran agak sukar untuk kami mencari keserasian kerana kami tidak begitu saling mengenali.

“Tapi selepas berlakon beberapa kali semuanya berjalan dengan lancar, malah saya juga tiada masalah untuk menjiwai watak sebagai seorang psiko dalam filem ini,” katanya kepada media.

Dalam pada itu mengulas mengenai wataknya sebgai seorang Psiko dalam filem tersebut, Luna memberitahu dia ingin mencuba sesuatu yang baru kerana sebelum ini dia sering membawakan watak-watak sebagai seorang wanita yang baik.

“Filem ini sebuah filem yang hebat dan saya tertarik dengan watak yang diberikan kepada saya.

“Sebelum ini di Indonesia saya sering membawakan watak sebagai seorang wanita yang baik dan saya dah mula rasa bosan dengan karakter seperti itu.

“Jadi bila saya diberikan peluang keemasan seperti ini, tiada sebab untuk saya menolak… Kali ini memang sangat berbeza kerana saya akan menjadi seorang wanita Psiko yang tidak mahu melepaskan teman lelaki ke tangan perempuan lain,” ulasnya.

Tambah Luna lagi cara bekerja diantara produksi Malaysia dan Indonesia sangat berbeza dan berasa seronok kerana diberi peluang untuk menimba pengalaman baru di negara ini.

Filem yang diarahkan oleh pengarah Ahmad Idham ini dibintangi oleh Aaron Aziz, Nur Fazura, Luna Maya, Khir Rahman dan Mia Sara Nasuha.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Julai ini bersamaan dengan sambutan Aidilfitri.

‘Tembus’ mengisahkan tentang Hari (Aaron Aziz), seorang lelaki yang memegang tanggungjawab besar dalam mengotakan janji demi melihat keluarganya dilimpahi dengan kemewahan dengan mengizinkan Izza (Fazura) menguruskan syarikat.

Detik cemas bermula apabila anak mereka Zara (Mia Sara) diculik dan penculikan itu telah membongkar sedikit sebanyak konflik dalaman yang selama ini dirahsiakan oleh Hari.

Adakah Zara akan ditemui selamat atau menjadi mangsa keadaan kerana kisah silam bapanya? Mampukan Izza dan Hari menembusi benteng yang mereka bina atau menerima berita buruk akibat ketidakjujuran Hari? - Astro Gempak

Anak Linda Rafar menangis rindukan arwah Memen

Kesedihan Arriq turut dirasai lebih 11 ribu pengikut di laman Instagram Linda Rafar

Hari ini (Jumaat), genap tujuh hari pemergian anak bekas penyanyi kumpulan Elite, Linda Rafar Allahyarham Rezaiman Keifli ke Rahmatullah.

Kehilangan Rezaiman atau lebih mesra dengan panggilan Memen masih dirasai Linda dan seluruh ahli keluarga termasuk anak bongsunya Syed Arriq, 2.


Kira-kira 14 jam yang lalu, Linda telah memuat naik sebuah video dengan kapsyen “ArriqMissArwahAbgMemen” yang memaparkan anak bongsunya Syed Arriq yang tidak dapat menahan kesedihan kerana terlalu rindukan arwah abangnya, Memen.


Menerusi video tersebut, dapat dilihat Arriq dengan linangan air mata dan esak tangisnya menyebut perkataan “abang” dalam suara yang tersekat-sekat.

Kesedihan Arriq turut dirasai lebih 11 ribu pengikut di laman Instagram Linda dan telah mendapat 1,000 like ketika artikel ini ditulis.

Astro Gempak turut terkesan selepas menonton video berdurasi 15 saat itu dan terpanggil untuk berkongsi dengan anda semua.

Sebelum itu, sama-samalah kita sedekahkan A-Fatihah kepada arwah Memen dan semoga Linda serta keluarga tabah dengan dugaan ini -Astro Gempak