Friday, 11 July 2014

Azwan Ali dibayar Astro ‘bikin panas’ MasterChef

Azwan Ali

AZWAN Ali hari ini mendedahkan bahawa dirinya dibayar oleh pihak Astro untuk mencetuskan suasana panas dan kecoh ketika beliau menjadi salah seorang peserta MasterChef musim kedua.

Azwan Ali berkata, bagi tugasan tersebut beliau dibayar ribuan ringgit, hanya untuk ‘memaki hamun’ peserta lain.

“Sudah 25 tahun saya jadi artis. ALLAH itu Maha Mengatur semuanya. Saya pernah naik, saya pernah jatuh. Tapi di saat saya jatuh, saya tak terduduk. Orang saja anggap yang saya terduduk. Saya tahu pada ketika itu, musuh-musuh saya semua bertepuk tangan.

“Tapi hakikatnya orang tak tahu yang rezeki saya tidak pernah putus. Bila agak lama saya tidak muncul di mana-mana program TV, orang bertanya pada saya, “Kau dah lama tak keluar tv. takde ‘job ‘eh, kau buat apa? Memang itu soalan yang berbisa untuk saya telan.

“Saya akui saya memang pernah tidak dapat apa-apa tawaran. Tapi ALLAH Maha Kaya. Pihak Astro pernah tawarkan saya tugas memaki hamun para peserta MasterChef Selebrti untuk musim dua tahun lepas. Untuk’ job’ itu saja, saya dibayar ribuan ringgit,” katanya pada Sidang Media Program-program Astro Sempena Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bertempat di hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Jelas Azwan lagi, beliau tidak kisah dengan pandangan orang ramai yang tidak menyukai caranya dan cuba menjatuhkannya.

“Pihak Astro siap bagi saya Astro On The Go lagi. Saya tak perlu susah-susah nak ke Astro, nak keluar TV. Saya duduk rumah jer, duit masuk. Malah program-program saya seperti Sembang Teh Tarik mendapat rating yang tinggi.

“Jadi saya tak kisah, kalau orang tak suka, benci dan menyampah dengan saya, saya tak peduli semua itu,” katanya.

Terdahulu baru-baru ini menerusi laman Twitternya Azwan Ali pernah mencetuskan kontroversi di mana beliau telah menulis yang berbunyi, "juadah yang dibelinya di bazar Ramadan kebanyakan rasa macam sampah".

Hinaan itu, telah membangkitkan kemarahan di kalangan perniaga bazar. Malah mendapat kecaman orang ramai.

Sinar Harian 

Saksi: Kepala Norazita pecah

Arzanna dan Kwek Chuwn Hui
Arzanna dan Kwek Chuwn Hui

SHAH ALAM - “Saya ingat saya yang kena tembak,” kata saksi pendakwaan kes bunuh kakitangan Ambank cawangan USJ Sentral, Norazita Abu Talib, 37, yang mati ditembak, tahun lalu.

Ketua Perkhidmatan Ambank cawangan itu, Arzanna Abdullah, 43, berkata, pada hari kejadian, dia dan Norazita sedang memasukkan wang kutipan di dalam bilik simpanan duit sebelum berlakunya insiden tersebut.

Saksi memberitahu pengawal keselamatan, Ardi Hamzah, menariknya keluar dari bilik itu sebelum seorang rakan sekerja datang menariknya ke bilik operasi.

Melalui bilik operasi, katanya, dia ternampak Ardi meluru ke bilik simpanan duit dan mencangkung di depan pintu besi, sebelum pengawal keselamatan itu keluar dari pintu depan, membawa beg.

Apabila tertuduh pergi, saksi memberitahu dia meminta bantuan daripada dua rakan sekerja yang lain untuk melihat Norazita.

“Saya syak dia (Norazita) kena tembak kerana mereka tengok kepalanya pecah,” katanya.

Menurutnya, dia dengan segera menghubungi ketuanya, Alice Wong untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Beliau sekali lagi menghubungi pihak atasan untuk memaklumkan insiden itu sebelum polis datang dan mengambil keterangannya.

“Sekitar jam 6 petang, sebelum memasukkan duit, dia berdiri di tepi pintu dan bertanyakan pukul berapa saya masukkan wang.

“Saya hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah bertanyakan perihal itu dan saya jawab tidak pasti,” katanya pada sesi pemeriksaan utama oleh Ketua Pendakwa Negeri Selangor, Mohd Azari Haron.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Assisten Superintendan Kwek Chuwn Hui, 34, memberitahu, salinan kad pengenalan milik Ardi yang diperolehi daripada penyelia syarikat keselamatan itu telah dianalisa oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun salinan kad pengenalan itu palsu.

Menurutnya, selain salinan kad pengenalan milik Ardi, turut dianalisa adalah kesan cap jari pada dokumen asal pembukaan akaun dan pasport sah La Ode Ardi Rasila.

“Hasil analisa mendapati, kesan cap jari itu adalah merujuk kepada orang yang sama iaitu La Ode Ardi Rasila,” katanya.

Menjawab pertanyaan Mohd Azari, Chuwn Hui, membuat pengecaman bahawa Ardi adalah La Ode yang berada di kandang tertuduh.

La Ode, 37, dituduh membunuh Norazita antara jam 6 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Asyraf Md Kamal turut bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya bersama Mohd Azari Haron, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia.

Sinar Harian