Thursday, 26 June 2014

Video jihad di Syria dipercayai libatkan rakyat Malaysia di YouTube

Video jihad di Syria dipercayai libatkan rakyat Malaysia di YouTube

KUALA LUMPUR: Video dipercayai dirakamkan rakyat Malaysia yang terlibat dalam peperangan saudara di Syria, selama seminit dan 33 saat mula tersebar di laman YouTube.

Video yang bertajuk "Siria - Mercenarios Asiáticos Combaten en las Filas Terroristas - 7" telah dimuat turun ke laman YouTube pada 7 Jun dan dirakamkan oleh seorang individu yang bercakap bahasa Melayu loghat utara.

Video itu merakamkan sebuah kereta kebal bergerak ke medan pertempuran dan sekumpulan lelaki, yang berpakaian celoreng tentera dan bersenjata, berada di dalam sebuah trak pengangkut.

"Ya kereta kebal sedang bergerak menuju ke destinasinya menuju ke medan pertempuran, Allahuakbar, Allahuakbar..Kesemuanya cinta syahid," kata jurukamera video itu.

Seorang lagi lelaki bercermin mata, yang dirakamkan dalam video itu, turut berkata: "Mujahid-mujahid hensem".

Rakaman video itu dikesan ketika Malaysia meminta pihak berkuasa Syria mengesahkan dakwaan berhubung penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan di negara Timur Tengah itu.

Dalam kenyataan semalam, Kementerian Luar berkata Malaysia menentang dan tidak merestui tindakan keganasan atau ekstremisme oleh mana-mana pihak termasuk oleh rakyatnya sendiri.

Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan bahawa 15 rakyat Malaysia yang terbabit dalam keganasan dan aktiviti jihad dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), kumpulan yang berpecah daripada Al-Qaeda, telah terbunuh di Syria.

Dakwaan itu dilapor dibuat oleh seorang pegawai Syria yang berpusat di New York pada sidang media 18 Jun yang turut mendakwa selain rakyat Malaysia, rakyat dari negara lain termasuk beberapa negara Asean juga terlibat dalam aktiviti seumpama itu di Syria.

Bernama 

Hatrik Xherdan Shaqiri bantu Switzerland layak ke pusingan kalah mati

Hatrik penyerang Xherdan Shaqiri bantu Switzerland melangkah dengan bergaya ke pusingan seterusnya.

KUALA LUMPUR: Selepas Thomas Muller menjadi pemain pertama dalam Piala Dunia 2014 yang mencipta hatrik ketika membantu Jerman membenam Portugal pada 16 Jun lalu, giliran Xherdan Shaqiri pula melakukan perkara yang sama ketika membantu Switzerland menewaskan Honduras 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E di Arena di Amazonia, Manaus.

Pemain Bayern Munich itu meledak dengan jaringan pada minit keenam, 31 serta 71 dan jaringan tersebut berjaya membantu Switzerland untuk mengikuti langkah Perancis meneruskan cabaran Eropah dalam peringkat pusingan kedua.

Switzerland yang dari awal banyak melakukan serangan-serangan berbahaya ke kubu Honduras diberi tentangan sengit dari Honduras dimana banyak cubaan balas dilakukan oleh Honduras.

Honduras hampir berjaya mendapat gol apabila Juan Carlos Garcia berjaya mengatasi pertahanan Switzerland namun ketankasan penjaga gol Switzerland, Diego Benaglio mengagalkan usaha Honduras itu.

Keputusan tersebut kekal hingga tamat perlawanan. 

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E di Estadio do Maracana, Rio de Janeiro, keputusan seri tanpa jaringan antara Ecuador dan Perancis tidak cukup untuk membantu Ecuador untuk mengikuti jejak Perancis untuk layak ke peringkat kalah mati.

Ecuador yang bermain dengan 10 orang setelah pemain tengah, Manchester United, Luis Antonio Valencia dibuang padang akibat mengasari terhadap pemain Perancis, Lucas Digne terpaksa banyak bertahan dengan asakan-asakan berbahaya dari Perancis.

Perancis yang sudah pun layak ke pusingan seterusnya melakukan banyak pertukaran keatas kesebelasan utama dalam pertemuan dengan Ecuador ini apabila Mathieu Valbuena, Patrice Evra, Olivier Giroud, Raphael Varane dan Mathieu Debuchy direhatkan dan memasukkan pemain-pemain seperti Laurent Koscielny, Bacary Sagna, Lucas Digne. Morgan Schneiderlin, Paul Pogba dan Loic Remy.

Namun, pertukaran demi pertukaran pemain yang dilakukan Perancis gagal menembusi pintu gol Ecuador yang dikawal rapi oleh Alexander Dominguez dan Ecuador pula hanya sekali sekala melakukan serangan balas melalui penyerang, Enner Valecia keatas kubu Perancis namun masih gagal mencari gol kemenangan yang dicari.

Sehingga tamat perlawanan, Ecuador dan Perancis gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Pada peringkat pusingan kedua pada 1 dan 2 Julai nanti, Perancis selaku juara Kumpulan E akan bertemu Nigeria manakala Switzerland berdepan tugasan besar apabila dijadualkan bertemu Argentina.

Astro Awani