Friday, 6 June 2014

'Gadis pailang' akan dituduh 23 Jun ini


GADIS PAILANG: Kes ditetapkan untuk dibicara 23 Jun ini


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintenden Lee Chong Chern berkata tiga suspek dalam video ‘Gadis Pailang’ akan didakwa.

“Ketiga-tiga dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Bagi suspek pertama ada tambahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Kes ditetapkan untuk dibicara 23 Jun ini,” kata Lee kepada Astro AWANI.

Paparan video yang dimuatnaik di YouTube menggemparkan pengguna media sosial di negara ini tentang gejala buli di kalangan anak-anak muda di sekolah. 

Video pergaduhan pelajar yang menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dengan kejam oleh sekumpulan pelajar perempuan lain turut muncul dan mendapat kritikan di media sosial.

Video itu bermula dengan sekumpulan kira-kira 10 pelajar perempuan sedang lepak berdekatan tangga, mengambil gambar 'selfie' dan menunjukkan isyarat 'peace' di kamera.

Kumpulan itu sebaliknya mula menyerang mangsa yang dilihat berdiri di antara kumpulan tersebut.

- Astro Awani 

Polis jumpa telefon bimbit iPhone dekat mayat

Anggota Bomba dan Penyelamat membawa anjing pengesan ketika menyambung operasi mencari warga England Gareth David Huntley, 34, yang hilang di Kampung Juara, Pulau Tioman ketika tinjauan fotoBernama di Rompin, hari ini. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat membawa anjing pengesan ketika menyambung operasi mencari warga England Gareth David Huntley, 34, yang hilang di Kampung Juara, Pulau Tioman ketika tinjauan fotoBernama di Rompin, hari ini. - Foto Bernama


KUANTAN - Polis hari ini menjumpai sebuah telefon bimbit Iphone dipercayai milik lelaki yang mayatnya ditemui berdekatan sebuah chalet di Kampung Juara, Pulau Tioman semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, polis masih meneruskan operasi di kawasan mayat dijumpai bagi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan, termasuk dokumen pengenalan diri yang belum ditemui setakat ini.

"Polis juga hingga kini masih belum dapat mengesahkan mayat lelaki berkenaan adalah Gareth David Huntley, lelaki warga British yang hilang 27 Mei lepas kerana siasatan masih dilakukan.

"Bagaimanapun, kita telah mengambil sampel DNA ibu Huntley, Janet Southwell, bagi membantu siasatan.

"Sampel berkenaan akan dihantar ke makmal di Petaling Jaya dan keputusan dijangka dikeluarkan dalam masa dua hari," katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Sharifuddin berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan ditemui pada anggota badan mayat dan menolak unsur jenayah sebagai punca kematian.

Bagaimanapun, beliau berkata Southwell akan berada di Kuantan beberapa hari lagi bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Southwell tiba di Jabatan Forensik HTAA pada 11 pagi bersama-sama Naib Konsul Pesuruhjaya Tinggi British Karen Song dan teman wanita Huntley iaitu Kit Natariga Panyawatcharakun dengan helikopter bagi mengecam mayat itu.

Mayat itu ditemui pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam di tepi sungai, kurang 500 meter dari chalet penginapan Gareth di Pusat Perlindungan Penyu Kampung Juara.

Huntley merupakan sukarelawan pusat perlindungan penyu itu dan dilaporkan hilang pada 27 Mei lepas ketika dikatakan mahu ke Air Terjun Lubuk Teja berseorangan. - Bernama