Wednesday, 4 June 2014

Orang Islam bukan Melayu perlu diberi kelonggaran beragama - Gan Ping Sieu


Presiden bersama CENBET, Gan Ping Sieu. Foto BERNAMA



KUALA LUMPUR: Orang Islam bukan Melayu atau Mualaf sepatutnya dibenarkan memeluk agama pilihan mereka, sebagaimana mereka dibenarkan memeluk agama Islam pada sebelumnya, kata Presiden bersama CENBET, Gan Ping Siew.

Menurutnya, ini adalah untuk mengelakkan tercetusnya ketegangan kaum seperti yang berlaku semasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di sebuah kuil di Petaling Jaya, dua hari lepas.

Kata Ping Sieu kedudukan kaum Melayu dalam Perlembagaan telah pun diterangkan dimana jika seseorang Melayu Islam itu keluar dari agamanya, bermakna ia lari dari identitinya.

Bagaimanapun ujarnya, definisi tersebut tidak tertakluk kepada orang-orang bukan Melayu yang memeluk Islam.

"Satu penyelesaian perlu diwujudkan bagi golongan Mualaf dan bagi pemohon tulen dalam kes-kes yang luar biasa. Sebagai contoh, dalam kes perkahwinan Hindu baru-baru ini, pengantin India 'Muslim' tersebut telah dibesarkan oleh keluarga bukan Islam sejak kecil dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ping Sieu turut memetik ayat 256 di dalam Surah Al-Baqarah yang mengatakan "tiada paksaan dalam beragama".

Jelasnya, perkara ini perlu ditangani pihak kerajaan negeri untuk menyediakan mekanisma bagi pemohon memeluk agama lain kerana urusan hal ehwal agama Islam tertakluk di bawah kerajaan negeri.

Katanya dengan ketiadaan mekanisma tersebut, adalah hampir 'mustahil' untuk seseorang Mualaf meninggalkan agama (Islam) yang telah dipeluknya.

"Dengan ketiadaan jalan penyelesaian. mereka tiada pilihan selain 'mencabar pihak berkuasa' - yang kebiasaannya mendalamkan lagi perselisihan antara kaum dan agama dalam negara apabila mereka berbuat demikian,' katanya.

Sementara itu, beliau menyelar tindakan JAIS menyerbu kuil berkenaan sambil menyifatkan tindakan itu sebagai 'tidak munasabah dan tidak sensitif'.

Beliau juga berpendapat bahawa JAIS perlu memohon maaf atas 'pencerobohan biadap' tersebut kerana menurutnya serbuan itu bukanlah tindakan wajar yang dilakukan atas nama JAIS.

JAIS, pada 1 Jun telah menyerbu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Hindu di sebuah kuil di Petaling Jaya berikutan aduan pengantin perempuan yang berkahwin itu dipercayai beragama Islam.

Menurut sumber, JAIS menerima aduan sejak Jumaat lalu dan mengarahkan tiga pegawai penguat kuasa menjalankan siasatan, dengan bantuan polis.

- ASTRO Awani 

Perancis eksperimen galak rakyat berbasikal ke pejabat

Tindakan kerajaan Perancis itu mencontohi langkah sama yang dilaksanakan oleh beberapa negara Eropah

PARIS: Kerajaan Perancis memulakan eksperimen selama enam bulan membayar insentif kepada warganya yang berbasikal ke tempat kerja dalam usaha menggalakkan penggunaan basikal untuk kesihatan rakyat, mengurangkan pencemaran udara dan mengurangkan penggunaan bahan bakar, lapor agensi berita Reuters.

Tindakan kerajaan Perancis itu mencontohi langkah sama yang dilaksanakan oleh beberapa negara Eropah yang lain seperti Netherlands, Denmark, Jerman, Belgium dan Britain. Semua negara itu menawarkan pelbagai insentif seperti potongan cukai, pampasan setiap kilometer serta bantuan kewangan untuk membeli basikal.

Di Perancis, lebih kurang 20 buah syarikat dan institusi yang menggajikan sejumlah 10,000 pekerja telah bersetuju untuk membayar kakitangan mereka sebanyak 25 sen euro (lebih kurang RM1.10) bagi setiap kilometer perjalanan dengan basikal ke tempat kerja, kata Kementerian Pengangkutannya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menteri Pengangkutan Perancis, Frederic Cuvillier berkata eksperimen itu akan diperluaskan sekiranya langkah pertama ini menunjukkan hasil yang positif.

Pihaknya berharap skim insentif berbasikal ke tempat kerja ini akan meningkatkan penggunaan basikal sehingga 50 peratus berbanding 2.4 peratus daripada semua jenis pengangkutan dari rumah ke tempat kerja sekarang.

- Agensi