Wednesday, 4 June 2014

Selepas seminggu hilang, usaha cari Huntley terus diperhebat

Usaha mencari dan menyelamat Gareth David Huntley terus dipergiatkan


PULAU TIOMAN: Selasa, genap seminggu warga Britain, Gareth David Huntley, 34, hilang di Kampung Juara di sini, dan pencariannya terus menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat sukarelawan Pusat Penyu Juara itu terus dipergiatkan dengan penambahan aset dan anggota penyelamat.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata kawasan pencarian Huntley diperluaskan sejauh tujuh kilometer persegi dari lokasi beliau dilaporkan hilang di kawasan Air Terjun Lubuk Teja di Kampung Juara pada Selasa lepas.

Anggota-anggota penyelamat seramai 154 orang merangkumi Polis Pahang, Polis Marin, Rela, Tentera Darat, Bomba dan Penyelamat Pahang dikerahkan mencari dan menyelamat Huntley, katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Huntley dilaporkan hilang di Air Terjun Lubuk Teja di sini.

Huntley, yang bekerja dan tinggal di Projek Juara Penyu di Kampung Juara, Pulau Tioman dilaporkan hilang setelah pergi ke Air Terjun Lubuk Teja pada hari berkenaan.

Sharifuddin berkata pasukan mencari dan menyelamat turut menambah empat lagi ekor anjing pengesan iaitu dua dari Unit K9 dan dua ekor dari bomba, menjadikan jumlah anjing pengesan tujuh ekor kini.

Seramai 20 anggota VET 69 dari Kem Ulu Kinta, Perak juga akan menyertai misi mencari Huntley pada hari Rabu menjadikan usaha itu kini di tahap maksimum.

Ditanya kemungkinan Huntley pergi ke kawasan air terjun itu atau ke tempat lain, Sharifuddin berkata pihaknya mengambil kira semua kemungkinan kerana sehingga pihaknya tidak mendapat sebarang petunjuk.

"Tadi saya melalui sendiri laluan yang digunakan mangsa untuk ke Air Terjun Lubuk Teja. Saya tengok treknya cantik dan ada diletakkan penanda arah jalan sepanjang jalan, jadi untuk mangsa sesat di laluan kawasan itu atau sebaliknya kita ambil semua kemungkinan itu," katanya.

Sementara itu, ibu Huntley, Janet Southwell, yang berusia 50-an, berkata dia berpuas hati dengan semua usaha yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dalam mencari anaknya.

Wanita itu, yang tiba di sini pada hari Isnin dari Britain, berkata beliau kini hanya mampu berdoa dan berharap anak kedua daripada tiga beradik itu segera ditemui dalam keadaan selamat.

Menurutnya Huntley dijangka memulakan kerja baharunya di Singapura pada minggu depan dan mahu menghabiskan cutinya di Pulau Tioman selama 10 hari dengan menjadi sukarelawan di Pusat Penyu Juara.

"Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah 10 hari lepas.

"Saya mahu berada di Pulau Tioman apabila mereka menemuinya. Saya yakin ada hasil yang baik...marilah kita berdoa untuk keselamatannya," kata beliau.

Bernama

Umno hantar surat tunjuk sebab kepada ibu Dyana

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor


KUALA LUMPUR - Umno menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy Samat hari ini kerana didakwa berkempen untuk anak perempuannya, Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan baru-baru ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Yammy perlu menjawab surat tunjuk sebab itu dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam perlembagaan Umno.

"Kita ada proses dan sistem sendiri sebelum ambil tindakan terhadap mana-mana anggota.

"Jika tiada jawapan, terpulang kepada parti sebab tugas saya telah selesai dan saya hanya menjalankan tugas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Guru anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di sini, hari ini. 

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu tindakan diambil terhadap Yammy yang didakwa telah berkempen untuk Dyana.

Yammy sebelum ini dilaporkan berkata beliau berharap kekal bersama Umno dan terpulang kepada parti itu untuk menentukan kedudukannya.

Pada PRK Teluk Intan Sabtu lepas, Dyana Sofia, 27, tewas dengan majoriti 238 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53. - Bernama