Monday, 19 May 2014

Syarikat penerbitan nafi terbitkan buku kanak-kanak berunsur homoseksual

Buku cerita kanak-kanak yang didakwa mempunyai kandungan pedophilia.


KUALA LUMPUR: Syarikat penerbit buku Ladybug Publishing and Distribution sekali lagi terheret ke kancah kontroversi penerbitan buku apabila didakwa menerbitkan dua buah buku cerita kanak-kanak yang mempunyai unsur-unsur hubungan homoseksual dan juga pedophilia terhadap kanak-kanak.

Buku berbahasa Inggeris yang berjudul ‘Alfie’s Home’ dan sebuah cerita pendek berjudul ‘Daddy’s Roomate’ yang ditulis oleh Micheal Wilholte itu dikesan oleh pembaca buku tersebut mempunyai unsur-unsur hubungan gay dan hubungan seksual dengan kanak-kanak.





Pembaca-pembaca menyedari kandungan tersebut telah memuatnaik kandungan buku tersebut di lama sosial dan menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat perkara tersebut.


Sementara itu, Syarikat Ladybug Publishing and Distribution dalam laman Facebooknya pada hari ini telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa syarikat itu menerbitkan kedua-dua buah buku cerita kanak-kanak tersebut.


Satu laporan polis juga akan dibuat berhubung perkara tersebut.

Syarikat tersebut sebelum ini dikritik kerana menerbitkan dua buah buku pembelajaran pra-sekolah termasuk sebuah buku bertulisan jawi yang memaparkan contoh-contoh yang kurang sesuai bagi pembelajaran kanak-kanak sehingga menyebabkan beberapa ribuan cetakan buku keluarannya itu terpaksa ditarik dan dikaji semula oleh KDN.

- Astro Awani 

Warga emas maut selepas terjun dari tingkat 11

Warga emas terjatuh

GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari tingkat 11 pangsapuri di Batu Lancang Sabtu.

Mangsa yang berusia 60 tahun tinggal sendirian selepas bercerai dengan isterinya dipercayai mengalami gangguan perasaan sejak empat bulan lalu.

Dalam kejadian 3.40 petang itu mangsa sebelum itu bertindak berdiri di tepi tingkap rumahnya dan mahu terjun namun dipujuk anggota bomba yang bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan orang awam.

Anggota bomba mengambil masa empat jam memujuk mangsa namun gagal apabila lelaki itu nekad terjun.

Mangsa yang jatuh di atas tilam yang disediakan pasukan bomba masih bernyawa dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahab berkata pihak polis menerima maklumat kejadian 3.40 petang dan bergegas ke tempat kejadian dan membenarkan anggota melakukan kerja menyelamat.

Ahli keluarga dan kaunselor dari pihak PDRM cuba memujuk mangsa namun gagal.

Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di hospital Pulau Pinang.

Kes disiasat dibawah seksyen 309 kanun keseksaan atas cubaan membunuh diri.

- Astro Awani