Wednesday, 7 May 2014

Padan muka: JDT singkir pemain kerana curi duit rakan sepasukan

Presiden Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. --gambar fail


JOHOR BAHRU: JDT mengambil keputusan drastik menyingkirkan salah seorang pemainnya kerana didakwa mencuri wang tunai sebanyak RM500 milik rakan sepasukan.

Penyingkiran pemain berusia 20 tahun itu disahkan Presiden Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Tunku Ismail, kes berkenaan kini diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Tunku Ismail yang kesal dengan kejadian tidak pasti mengapa pemain terbabit tergamak melakukan perkara tersebut sedangkan PBNJ tidak pernah gagal membayar gaji pemain.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini pada Selasa.

Kejadian dikatakan berlaku 1 April lalu di bilik persalinan Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor Bahru.

Mangsa menyedari kehilangan wang tunai selepas sesi latihan.

Rakaman kamera litar tertutup berjaya merakam perbuatan pemain terbabit dan satu laporan polis dibuat di petang Selasa.

-- Astro Awani 

Wali Band lancar album ke-4 di Malaysia

Wali Band

KUALA LUMPUR: Kumpulan dari Indonesia yang popular menerusi lagu ‘Cari Jodoh’ iaitu Wali Band telah memilih Malaysia untuk melancarkan album ke-4 yang berjudul ‘Doain Ya Penonton’.

Lebih istimewa lagi, album ini telah dilancarkan terlebih dahulu di negara ini sebelum sebelum Indonesia.

Menurut Apoy dia percaya bahawa peminat mereka di Indonesia tidak akan berkecil hati dengan pemilihan mereka untuk melancarkan album di negara ini terlebih dahulu.

“Kami percaya dan yakin bahawa peminat kami di Indonesia tidak akan merasa kecil hati malah berbangga kerana kami berjaya menembusi pasaran luar.

“Lagipun dalam industri muzik kita masih berada dalam satu rumpun dan meminati muzik yang sama… Kami rasa ia tidak menjadi masalah bagi peminat kami di sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album berkenaan bertempat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memilih Malaysia sebagai tempat pelancaran album Apoy memberitahu kekerapan kunjungan mereka di negara ini merupakan salah satu faktornya.

“Kami sering berkunjung di negara ini bahkan kami melihat sambutan terhadap muzik kami juga agak memberangsangkan.

“Selain itu, kami juga ingin memenuhi permintaan Para Wali (gelaran peminat) di sini kerana sebelum ini ramai yang menyatakan mereka mahu kami lancarkan album di Malaysia,” tambahnya mewakili tiga ahli yang lain.

Mengulas mengenai penghasilan album, Apoy menjelaskan bahawa lirik dalam beberapa buah lagu telah dihasilkan mengikut perbincangan dengan peminat-peminat di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

"Kami ingin mencari bahasa yang mudah untuk difahami jadi kami telah mengadakan perbincangan bersama peminat-peminat untuk mendapatkan kepastian... Sebagai contoh‘nekad’ dan ‘jamin’ di mana ia membawa maksud yang sama." ujarnya.

‘Doain Ya Penonton’ yang mengambil masa selama empat bulan untuk dihasilkan ini telah memuatkan sebanyak 11 buah lagu antaranya ‘Indonesia Juara’, ‘Serpihan Hatiku’, ‘Cinta Diujung Nafas’ dan ‘Doain Ya Penonton’.

Album ini juga mempertaruhkan single pertama berjudul ‘Jamin Rasaku’.

--Astro Gempak