Wednesday, 7 May 2014

Wanita dakwa terdapat bom di dalam pesawat Malindo Air ditahan

Pesawat milik Malindo Air. --gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditahan oleh polis selepas mencetuskan kekecohan di dalam pesawat Malindo Air penerbangan OD1622 ke Kuching, Sarawak petang Selasa. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata siasatan awal polis mendapati wanita berusia 41 tahun yang berasal dari Kuching dan bekerja di Semenanjung itu dalam perjalanan pulang ke kampung atas urusan keluarga.

"Kejadian berlaku pada 2.20 petang ketika kru penerbangan sedang menyiapkan penumpang sebelum pesawat berlepas.

"Pramugari telah menegur wanita terbabit agar meletakkan beg yang berada di hujung kakinya di tempat menyimpan barang di bahagian atas, namun wanita itu terus memarahi pramugari tersebut dengan mengeluarkan perkataan ugutan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Menurut Zaldino, pramugari memaklumkan perkara itu kepada juruterbang yang menghubungi pihak keselamatan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk mengeluarkan wanita itu dari pesawat.

"Penerbangan yang dijadualkan ke Kuching itu tertangguh selama 2 jam 22 minit dan pesawat itu selamat berlepas pada 4.42 petang," katanya dan menambah pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi Malindo Air Raja Sa'aadi Raja Amrin ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian.

"Wanita itu mula marah-marah sebelum menaiki pesawat lagi dan memaki hamun pramugari selain menyatakan terdapat bom di dalam pesawat itu," katanya kepada Bernama.

Bernama

Perintah berkurung diumumkan di Sabah

MUSA: Tidak ada pergerakan dibenarkan di kawasan perintah berkurung dan PDRM akan meneliti secara mendalam pelaksanaan ini


KOTA KINABALU: Susulan kejadian penculikan oleh kumpulan bersenjata di Sabah, satu perintah berkurung di kawasan tertentu telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengumumkan perkara berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah (JKNN) hari ini.

Musa berkata, tidak ada pergerakan dibenarkan di kawasan perintah berkurung dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan meneliti secara mendalam pelaksanaan ini.

"Melaksanakan Curfew Area di kawasan berisiko di mana tidak ada pergerakan dibenarkan dan PDRM akan meneliti secara mendalam pelaksanaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain perintah berkurung, kerajaan Sabah juga menubuhkan kawasan kawalan yang menghadkan kemasukan mengikut masa, tempat dan keadaan tertentu.

"Tindakan drastik akan diambil dengan melaksanakan Control Area iaitu menghadkan kemasukan mengikut masa, tempat dan keadaan.

"Sesiapa yang memasuki kawasan kawalan perlu mendapat kebenaran dan permit daripada PDRM," katanya.

Kerajaan Sabah akan melaksanakan sembilan langkah utama untuk memastikan meningkatkan kawalan keselamatan di negeri tersebut.

  • Tindakan drastik akan diambil dengan melaksanakan Control Area iaitu menghadkan kemasukan mengikut masa, tempat dan keadaan. Sesiapa yang memasuki kawasan kawalan perlu mendapat kebenaran dan permit daripada PDRM. PDRM akan memberi perincian mengenai pelaksanaan Kawasan Kawalan ini.
  • Mewujudkan pangkalan hadapan atau Forward Base di kawasan strategik untuk memantau keselamatan perairan Sabah.
  • Melaksanakan Kawasan Perintah Berkurung di kawasan berisiko di mana tidak ada pergerakan dibenarkan dan PDRM akan meneliti secara mendalam pelaksanaan ini.
  • Langkah jangka pendek, sederhana dan panjang akan dilaksanakan termasuklah membuat penyesuaian kepada organisasi, perjawatan dan pengisian pegawai dan anggota ESSCOM, mewujudkan radar berkeupayaan tinggi.
  • Meningkatkan keupayaan pasukan-pasukan keselamatan khususnya dari segi logistik seperti jumlah bot laju (Speed Boat) berkeupayaan tinggi di kawasan berisiko tinggi.
  • Mengukuhkan pelaksanaan gerak saraf dan perang saraf untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menjadi barisan pertahanan di ESSCOM.
  • Memperbaiki segera saluran dan Standard Operating Procedure (SOP) komunikasi ESSCOM supaya maklumat segera disalurkan dengan pantas kepada semua agensi keselamatan di lapangan.
  • Menguatkuasakan Designated Route dengan segera di kawasan-kawasan yang berisiko di mana pergerakan bot dan kapal mesti mengikut laluan yang dibenarkan sahaja.
  • Meningkatkan keupayaan logistik seperti mewujudkan sokongan logistik melalui konsep kapal induk untuk menjadi hab atau pelantar bagi pengisian minyak oleh bot laju tanpa perlu balik ke daratan yang mengambil masa dan kos.

Astro Awani