Tuesday, 6 May 2014

Apa soalan panas yang dijawab Aaron dalam Sembang Teh Tarik?


Sembang Teh Tarik bersama Aaron Aziz


KUALA LUMPUR: Kembali untuk musim kedua, program bual bicara Sembang Teh Tarik, yang dihoskan oleh Dato’ AC Mizal mula mendapat perhatian apabila disiarkan tahun lalu.

Tanpa menggunakan skrip, sebaliknya hanya panduan bagi pengacara untuk mengacarakan program bual bicara itu.

Untuk episod pertama yang bakal disiarkan malam ini, pelakon terkenal Aaron Aziz dipilih sebagai artis jemputan. Apakah agaknya soalan panas yang ditanya AC kepada selebriti jemputan pertama musim kedua ini?

Selesai rakaman, Astro AWANI berpeluang untuk mewawancara pelakon filem KL Gangster itu yang juga merupakan hos untuk program Fear Factor Malaysia.


Menjadikan AC Mizal sebagai idolanya dalam bidang pengacaraan, Aaron belajar banyak aspek dalam pengacaraan bagi menambahkan pengalamannya dalam bidang tersebut.

Pelakon terkenal itu mengaku agak risau pada mulanya kerana program bual bicara itu dirakam tanpa menggunakan skrip.

Tambah AC, jika artis tidak terbuka agak sukar untuk mengacara sebuah program bual bicara tanpa skrip.


Namun rakaman tersebut berjalan lancar apabila Aaron bersifat terbuka dan merasai kemesraan serta kepintaran pengacaranya dalam mengendalikan rakaman tersebut.

Tertarik untuk mengacarakan sebuah program bual bicara, Aaron berkata ia mahu mencari kelainan. Antaranya mendapatkan persoalan yang belum pernah dijawab oleh seseorang artis.

Pada musim terdahulu, antara selebriti jemputan yang mendapat perhatian ramai termasuk Noh Hujan, Harith Iskander dan Lisa Surihani.

Program itu diarahkan oleh Faizul Jais dan diterbitkan oleh Naomi Lim selaku produser.

Sembang Teh Tarik musim kedua bakal disiarkan malam ini, setiap Selasa pukul 10 malam di saluran Astro WARNA.

Sumber: ASTRO Awani 

Dewan Negara lulus rang undang-undang GST 2014

Rang Undang-undang GST diluluskan Dewan Negara pada hari Isnin.


KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, iaitu peruntukan undang-undang bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan serta perkara berkaitan, diluluskan
Dewan Negara pada Isnin.

Rang undang-undang itu diluluskan setelah dibahas 31 anggota dewan.

Undang-Undang itu bertujuan memperkemas sistem percukaian untuk menjadi semakin efisien dan menjamin masa depan negara dengan hasil lebih mantap.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST perlu dilaksana kerana kerajaan berpendapat sistem percukaian sedia ada tidak efektif khususnya dalam membantu perkembangan ekonomi negara.

"Kita akui sistem cukai yang ada sekarang ini agak lemah dan kerajaan perlukan satu sistem percukaian baharu yang lebih efektif kepada negara... sebab itu kita perkenalkan GST.

"Apakah pembangkang membantah pelaksanaan GST sebab nak teruskan sistem cukai yang lemah ini sedangkan kita telah tawarkan satu sistem percukaian yang lebih efektif, telus yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada cukai petroleum," katanya.

Beliau berkata walaupun pengenalan GST akan menyebabkan kenaikan 1.8 peratus Indeks Harga Pengguna namun masyarakat tidak perlu bimbang kerana ia bersifat sementara, satu proses biasa bagi mana-mana peralihan kepada sistem cukai yang baharu.

Ahmad berkata sebanyak 689 barang dikategori sebagai barangan yang dikenakan GST dan daripada jumlah itu, hanya 73 mengalami kenaikan harga, 287 mengalami penurunan harga, 329 kekal manakala 255 sedang disemak.

Beliau berkata bagi mengelak pengguna ditipu peniaga yang mungkin bertindak menaikkan harga barang sesuka hati, kerajaan akan mengeluarkan buku panduan pembeli yang mengandungi 1,000 jenis barang tiga bulan sebelum GST dilaksana.

Berbeza dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan 1975 (SST), yang merupakan cukai seperingkat, GST adalah cukai berperingkat dengan pembayaran cukai dibuat dalam pelbagai peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengagihan.

GST akan diperkenal pada April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan SST sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad berkata tindakan diambil ke atas 76 individu berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012 iaitu 32 diberi amaran, 41 dikenakan surcaj, dua didenda dan seorang dibuang kerja.

Beliau berkata daripada 121 kes terkumpul, 92 sudah selesai manakala 53 kes didapati tidak melibatkan unsur penyelewangan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran.

Bagi Laporan Audit Negara siri 1/2013, Ahmad berkata 17 jawatankuasa ditubuh di bawah Jabatan Perkhidamatan Awam bagi memastikan setiap teguran dan mereka yang didapati bersalah diambil tindakan sewajarnya.

Daripada 303 syor yang dinyatakan, 55 teguran perlu diambil tindakan manakala 248 teguran boleh diperbaiki, katanya.

Persidangan dewan bersambung hari ini. - Bernama