Tuesday, 6 May 2014

Raja paling lama bertakhta di dunia sambut ulang tahun ke-64 pertabalan

Raja Bhumibol Adulyadej. --AFP PHOTO / Thai Royal Bureau


BANGKOK: Raja Bhumibol Adulyadej muncul di khalayak ramai, sesuatu yang jarang dilakukan, untuk menghadiri istiadat sambutan ulang tahun ke-64 Hari Pertabalan baginda.

Beribu-ribu rakyat berpakaian kuning berbaris di sepanjang jalan Hua Hin pada Isnin dekat istana di pinggir pantai ketika perarakan kereta yang membawa Raja Bhumibol melalui jalan itu menuju ke tempat berlangsungnya upacara mengikut agama Buddha sempena ulang tahun Hari Pertabalan baginda.

Upacara itu berlangsung di Istana Klai Kangwon iaitu tempat bersemayam Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit.

Turut menghadiri upacara itu ialah anggota keluarga diraja dan para pegawai kerajaan termasuk Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Di Bangkok, politik dilupakan buat seketika ketika beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berarak sejauh beberapa kilometer ke Grand Palace dan kuil Emerald Buddha bagi menghadiri sambutan ulang tahun Hari Pertabalan raja yang paling lama bertakhta di dunia.

Mereka yang menghadiri upacara itu semuanya memakai baju kuning.

"Dirgahayu Raja Bhumibol", teriak para penunjuk perasaan sepanjang perarakan mereka menuju ke destinasi dengan diketuai Suthep Thaugsuban, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat.

Bernama

Seniman lagenda Aziz Sattar meninggal dunia

Seniman lagenda Datuk Aziz Sattar dalam kenangan - Al Fatihah


KUALA LUMPUR: Pemergian seorang lagi lagenda trio Bujang Lapok, pelakon veteran Datuk Abdul Aziz Sattar, bermakna negara kita kehilangan trio hebat zaman kegemilangan filem melayu Jalan Ampas.

Aziz Sattar, 89 meninggal dunia pada pukul 2 pagi tadi di Hospital KPJ Kajang akibat penyakit jantung.

Allahyarham telah dikejarkan ke hospital yang sama pada Ahad lalu.

Ketika hayatnya, Allahyarham amat dikenali dengan watak Ajis bersama trio Ramlee dan Sudin menerusi filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan banyak lagi.

Siri filem Bujang Lapok sememangnya kekal segar dalam ingatan peminat filem melayu sehingga ke hari oleh segenap lapisan usia.

Usai era Jalan Ampas. Allahyarham mengarah filem pertamanya iaitu Keluarga Si Comat pada tahun 1975.

Allahyarham kemudian terus diberi kepercayaan mengarah beberapa filem lagi seperti Si Badol, Prebet Lapok, Penyamun Tarbus, Setinggan, Tujuh Biang Keladi, Ok dan Adik yang sekaligus turut melahirkan nama-nama besar dalam dunia komedi seperti AR Badul dan Mr. Os.

Ikon lawak negara yang turut dikenali sebagai Pak Ajis ini dilahirkan di Pekalongan, Provinsi Jawa Tengah, Indonesia pada 8 Ogos 1925.

Pemergian Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak, 19 cucu, lima cicit dan seorang balu.

Jenazah akan disempurnakan di kediaman anaknya, di alamat 37 Jalan Suasana 2/2 Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Astro Awani