Tuesday, 22 April 2014

Rumahtangga retak: Adam akan beri penjelasan?

Adam AF


Rumahtangga retak: Adam akan beri penjelasan?

NAMA Adam dan Fiza kembali menjadi perhatian selepas bekas ahli anggota Elite itu dikatakan memfailkan penceraian di mahkamah syariah di Shah Alam minggu lalu.

Khabar itu tentu sekali mengejutkan ramai selepas Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, menerusi kenyataan kepada beberapa portal hiburan minggu lalu memberitahu dia dan isterinya tidak bergaduh dan meminta agar semua mendoakan yang terbaik untuk rumah tangga mereka.

Ditebak sekali lagi mengenai perihal rumah tangganya, Adam berkata kepada Zass, : "Maaf saya tidak mahu komen mengenai hal peribadi. Tunggu saja masa dan ketikanya nanti, pasti akan mengetahuinya," jelas Adam yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 33, dan Adam mengejutkan peminat dan industri seni apabila mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga September tahun lalu.

Pernikahan itu berlangsung dalam majlis serba sederhana di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam selepas dua bulan berkenalan.

Bagaimanapun sebulan selepas itu, hal rumah tangga mereka menjadi perhatian apabila pasangan ini dikatakan bergaduh besar di stesen minyak dipercayai akibat perasaan cemburu Adam selepas Fiza terjumpa dengan bekas teman lelakinya.

Namun, Adam yang dihubungi selepas itu menjelaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik. Bagaimanapun beberapa bulan kemudian, sekali lagi perkahwinan Adam dan Fiza jadi bahan perhatian selepas Fiza dilihat memadam gambar-gambar suaminya di Instagram.


Luahan hati Fiza

Bagaimanapun usaha Zass untuk mendapatkan penjelasan daripada Fiza gagal apabila pelakon dan penyanyi itu tidak menjawab panggilan dan WhatsApp yang dihantar kepadanya.

Namun, Fiza menerusi akaun Instagram miliknya seolah-olah meluahkan perasaan mengenai apa yang dirasai ketika ini.

"Salam semua. Maaf andai saya ada berbuat silap atau terkasar bahasa. Saya benar-benar berharap agar semua di luar sana memahami perasaan saya sekarang ini. Janganlah ditanya bermacam-macam jenis soalan. Saya ini cuma wanita biasa yang ke kadang lemah dan tak mampu untuk menanggung beban.

"Tapi saya tahu dan pasti semua ini ketentuan dari pada ALLAH. Siapa yang mahu untuk jadi begini? Kalau disoal pada sesiapa pun, tak mungkin seseorang itu mahu menjalani kehidupan seperti saya. Hormatilah apa jua keputusan saya. Saya hanya merancang, tapi ALLAH lebih mengetahui segala-galanya.

"Saya cuma perlukan sokongan daripada anda semua untuk saya terus kuat dan maju ke depan. Apa yang terjadi dan bakal berlaku biarlah jadi rahsia antara saya dan ALLAH. Tak perlu untuk saya berkongsi ke semua cerita peribadi saya kepada umum.

"Harap semua dapat memahami ya. Doakan yang terbaik untuk kami. ALLAH adalah tempat saya berbicara dan mengadu, bukan dengan sesiapa pun. Kita sebagai makhluk ALLAH dan hambanya cuma perlu menadah tangan dan berdoa meminta pertolongan dari-Nya. Amin.”

-- Sinar Harian 

Liputan media menurun selepas hari ke-45

PERTH - AUSTRALIA. Liputan media berhubung pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 begitu ketara menurun setelah operasi mencari peringkat multinasional masuk hari ke-45 tanpa menunjukkan sebarang hasil.

Khemah-khemah media kelihatan berkurangan, demikian juga kelengkapan dan kenderaan yang biasanya diletakkan dekat Dumas House, di sini, di mana Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) biasa mengadakan sidang akhbar, atau di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook, kira-kira 40 minit pemanduan dari Perth. 

Selain maklumat harian terkini menerusi kenyataan di laman web atau e-mel rasmi pegawai JACC, tidak ada sidang akhbar dibuat sejak Isnin lepas.

Seorang pegawai media RAAF yang enggan dinyatakan namanya memberitahu Bernama dan wartawan Malaysia yang lain bahawa petugas media tidak lagi dibenarkan memasuki pangkalan itu untuk liputan berita sejak minggu lepas. 

Untuk operasi pencarian harian secara visual, kata pegawai wanita itu, ia diteruskan seperti biasa sebagaimana yang diberitahu oleh JACC pada pagi Isnin.

Fokus sekarang terhadap operasi di bawah laut melibatkan Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) dipanggil Bluefin-21, yang ditugaskan sejak Isnin lepas.

Bagaimanapun, ini juga tidak menghasilkan sesuatu yang membawa kepada penemuan pesawat Boeing 777-200 itu yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada pagi 8 Mac.

Pada Sabtu, pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Bluefin-21 dijangka menyelesaikan tugas imbasan di zon pencarian dalam air minggu depan.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott juga membayangkan baru-baru ini tentang perlunya mempertimbangkan kembali operasi mencari dan menyelamat jika tidak terdapat perkembangan terbaru.

Pihak media di sini menjangka satu sidang akhbar akan diadakan dalam sehari dua ini. - Bernama