Tuesday, 22 April 2014

Isu Shila Amzah berseluar ketat di China, ND Lala jelas hal sebenar


Isu Shila Amzah berseluar ketat di China, ND Lala jelas hal sebenar

Kontroversi pakaian penyanyi Shila Amzah di program hiburan stesyen televisyen China akhirnya dijawab oleh ND Lala yang merupakan bapa kepada penyanyi ini.

ND Lala menegaskan yang dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden yang tidak disengajakan itu.

"Timbul masalah pakaian kerana baju yang dibawa telah digunakan untuk persembahan lain dan akan makan masa jika berpatah balik ke hotel dan terpaksa memilih pakaian yang disediakan oleh pihak produksi.

"Seluar yang digayakan Shila ketika itu bukanlah seluar legging seperti yang didakwa, cuma warnanya sahaja yang agak tidak bersesuaian untuk wanita berhijab sepertinya," ujarnya pada sebuah portal hiburan tempatan.

Dalam perkembangan lain, Shila Amzah yang mengadakan sidang akhbar di Menara Kuala Lumpur telah mengesahkan akan mengadakan konsert di Shanghai, China pada 16 Ogos dan kembali semula ke Malaysia pada 13 September untuk menghiburkan peminat di tanah air pula.

Menurut laporan, Shila tidak berniat untuk mengutamakan peminatnya di China berbanding Malaysia kerana mengadakan konsert di sana terlebih dahulu.

"Konsert yang bakal terlaksana ini adalah impian saya dan berjanji akan memberikan persembahan paling istimewa buat peminat di Malaysia," katanya.

Bakal mengundang penyanyi antarabangsa dan berkerjasama bersama Jennifer Thomson dan Helen Yap, Shila dilaporkan bakal menyampaikan lebih 20 buah lagu berbahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris di dalam konsertnya nanti.
 

ND Lala Mengaku Bertanggungjawab

Penyanyi ND Lala memohon agar semua pihak tidak menghentam atau menyalahkan anaknya, Shila Amzah berhubung isu pemakaian Shila yang hangat diperkatakan sebelum ini. Shila yang kini sedang menempa nama di China dihentam gara-gara mengenakan pakaian yang menampakkan seolah-olah dia tidak memakai seluar ketika membuat persembahan di sana.

ND Lala ketika ditemui di sidang akhbar pengumuman 'Konsert Cinta Shila Amzah' di Menara Kuala Lumpur pada petang Jumaat menjelaskan bahawa dia akan mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap perkara ini memandangkan pemilihan pakaian Shila pada ketika itu juga turut dipersetujui oleh pihaknya.

"Sebagai bapa, saya akan bertanggungjawab atas segala yang berlaku. Kesalahan itu patut diletakkan pada saya dan bukannya Shila. Saya berada bersamanya di mana sewaktu itu, Shila terlibat dalam rakaman lima buah program," ujar ND Lala menjawab bagi pihak Shila.

"Ketika selesai rakaman jam 1.30 pagi, pihak produksi meminta untuk merakamkan sebuah lagi lagu di mana pada waktu itu, penonton sudah balik. Ketika itu, hanya pakaian itu sahaja yang tinggal dan sebagai bapa, saya bertanya adakah ini saja pilihan yang ada?

Namun, dalam keadaan jam 1.30 pagi, tak kan kami nak pulang ke hotel dan kembali semula ke studio yang mengambil masa perjalanan lebih kurang dua jam. Disebabkan tiada pilihan lain, kami mengambil perkara ini dari sudut yang positif. Sebenarnya, Shila memakai seluar dan soal warna, itu sahaja warna yang ada ketika itu," jelas ND Lala kepada pihak media yang hadir.

Ketika pertemuan tersebut, ND Lala juga turut meminta agar semua pihak melihat anaknya itu sebagai ikon penyanyi. Menurut ND Lala, tidak adil rasanya untuk meletakkan Shila sebagai ikon Muslimah apatah lagi tanggungjawab tersebut sangat berat untuk dipikul.

GUA juga sempat bertanya kepada Shila berhubung perkara ini dan pelantun lagu 'Patah Seribu' ini memberitahu soal pakaian diuruskan oleh pihak pengurusan di sana. Tambah Shila, setiap manusia melakukan kesilapan dan dia akan cuba berhati-hati mengenai soal pemakaian selepas ini.