Sunday, 20 April 2014

Tolak spekulasi pesawat terhempas tanpa serpihan

Pencarian diteruskan, mungkin tambah aset
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) pada sidang media semalam. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak spekulasi berhubung kemungkinan pesawat MH370 terhempas di laut tanpa meninggalkan serpihan kapal terbang.

Menurutnya, pasukan mencari dan pasukan penyiasat masih menjalankan usaha bagi mengesan sebarang bukti atau objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat tersebut.

"Dalam fasa ini, pencarian pesawat MH370 akan diperluas dan diperinci bagi memperkasakan usaha mencari MH370.

"Dari segi bilangan dan penambahan aset, pasukan teknikal dan siasatan akan mendrafkan usul untuk dibawa ke Kabinet pada minggu hadapan," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima apa-apa laporan rasmi tentang panggilan telefon yang dibuat dari pesawat MH370.

"Siasatan berhubung kehilangan MH370 masih diteruskan, pasukan siasatan sentiasa bekerjasama dalam perkongsian maklumat pesawat tersebut dengan kerajaan," katanya lagi.

--Sinar Harian 

Hanya 10% berhenti merokok selepas pemulihan

rokok

GEORGETOWN - Hanya 10 peratus daripada 200 perokok yang mengikuti program pemulihan di klinik berhenti merokok di negeri ini berjaya meninggalkan tabiat itu sepenuhnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata tiada disiplin, sukar mengawal ketagihan dan kurang kesungguhan antara punca majoriti perokok gagal melepasi tempoh enam bulan minimum yang ditetapkan untuk berhenti merokok.

"Perokok tegar biasanya akan menghadapi beberapa simptom seperti berasa kurang bertenaga dan mudah mengantuk apabila tidak merokok dalam tempoh lama dan ini menyebabkan mereka susah meninggalkan tabiat itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran Tempat Kerja Bebas Asap Rokok di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia negeri di sini hari ini.

Dr Lailanor berkata tiada istilah terlewat untuk berhenti merokok kerana kebanyakan yang mendapatkan rawatan terdiri daripada individu berumur 40 tahun ke atas.

Beliau berkata ada juga perokok muda berniat berhenti merokok kerana tidak mampu membayar harga rokok yang semakin meningkat tetapi peratusan mereka amat kecil.

Dr Lailanor berkata terdapat 12 klinik berhenti merokok di seluruh negeri dikendalikan pakar perubatan keluarga secara percuma dan perokok biasanya diberi gula-gula nikotin untuk mengawal ketagihan dan sesi kaunseling.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri akan mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri untuk menjadikan bahagian dalam premis di kawasan bandar warisan sebagai zon larangan merokok.

Beliau berkata pihaknya masih berunding dengan pelbagai pertubuhan peniaga, hotel, pengusaha restoran nasi kandar serta pemilik pub untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu. - Bernama