Saturday, 12 April 2014

Sukar dapat isyarat telefon pada 5,000 kaki

Mohamed Tarmizi Ahmad
Mohamed Tarmizi Ahmad


SHAH ALAM - Sukar bagi sebuah telefon bimbit menerima isyarat panggilan sekiranya berada dalam penerbangan pada ketinggian 5,000 kaki.

Pakar Penerbangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Leftenan Kolonel (B) Mohamed Tarmizi Ahmad berkata, kemungkinan besar isyarat telefon bimbit mampu dikesan pemancar telekomunikasi seandainya pesawat berada pada ketinggian 2,000 hingga 3,000 kaki.

“Jika menggunakan telefon satelit, pemanggil mampu membuat panggilan di mana sahaja mereka berada tidak kira berapa ketinggian pesawat ketika penerbangan.

“Apa yang saya boleh katakan, pada ketinggian 2,000 kaki isyarat telekomunikasi juga sangat lemah dan pemanggil hanya mampu membuat panggilan sekiranya isyarat di kawasan berkenaan kuat,” katanya.

Menurutnya, syarikat telekomunikasi pasti menyimpan sebarang rekod panggilan yang dibuat oleh pelanggan mereka.

“Jadi, seandainya panggilan berjaya dibuat pada ketinggian 5,000 kaki, syarikat telekomunikasi pasti mempunyai bukti kukuh dengan data yang telah disimpan,” katanya.

Sebelum ini sebuah akhbar tempat melaporkan satu panggilan telefon yang telah dibuat oleh salah seorang anak kapal pesawat MH370 sewaktu pesawat itu terbang serendah 5,000 kaki di ruang udara Pulau Pinang pada hari kehilngan pesawat berkenaan.

Menurut laporan tersebut, sumber panggilan itu datangnya dari telefon bimbit milik pembantu juruterbang.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak polis telah merekodkan lebih 205 keterangan daripada pelbagai pihak termasuk anggota keluarga
penumpang dan anak dan anak kapal MH370 bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat berkenaan.

Sinar Harian 

Fariq buat panggilan sebelum MH370 hilang

Fariq Ab Hamid
Fariq

SHAH ALAM - Hasil siasatan dari pasukan siasatan telah mendedahkan satu maklumat terbaru berhubung insiden kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu.

Menurut laporan ekslusif yang dikeluarkan oleh New Straits Times hari ini, pihak berkuasa telah mendedahkan satu maklumat berhubung pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid yang membuat satu panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang pada ketinggian 5,000 kaki semasa melalui Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, panggilan telefon tersebut berjaya dilakukan berikutan pesawat tersebut yang terbang cukup rendah sehingga membolehkan menara kawalan telekomunikasi mengesan panggilan telefon yang dibuat.

Namun panggilan telefon tersebut disahkan terputus secara tiba-tiba sebelum kapal terbang tersebut hilang dari radar dan pasukan penyiasat masih melakukan siasatan terperinci ke atas maklumat tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan seramai 205 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam membantu siasatan pihak polis.

Menurut beliau, pihak polisakan memanggil lebih ramai individu untuk membantu pihak polis menyelesaikan siasatan ke atas insiden kehilangan pesawat tersebut.

Sinar Harian