Saturday, 12 April 2014

Mayat masih sempurna walaupun dilanggar treler

Mayat masih sempurna walaupun dilanggar treler
Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa dari celah tayar treler.


GEORGETOWN - Walaupun dilanggar sebuah treler, namun mayat seorang warga emas masih dalam keadaan sempurna kerana ditemui antara dua tayar dalam keadaan terbaring.

Warga emas, Syed Mohamed Shukor Syed Abdul Rashid, 64, dari Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas dikatakan sedang melintas jalan namun tiba-tiba terjatuh di Jalan Tun Dr Awang di sini pagi semalam.

Mangsa dikatakan berjalan kaki ke Kampung Setinggan, terletak berhadapan dengan kediamannya kira-kira jam 9 pagi.

Seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, ketika mangsa terjatuh terdapat sebuah treler dengan muatan bahan binaan sedang menghala ke arahnya dari bulatan Bayan Baru ke Relau.

Beliau berkata, pemandu treler tidak dapat memberhentikan kenderaannya kerana kejadian berlaku secara mengejut.

“Mayat dia ditemui antara dua tayar treler itu dalam keadaan terbaring dan tidak berdarah. Ini merupakan takdir ALLAH, dia pergi dalam keadaan sebegini,” katanya.

Menurutnya, Syed Mohamed kerap pergi ke kampung berkenaan untuk berjumpa rakan-rakannya dan ia menjadi sebahagian rutin hidupnya selepas bergelar pesara kerajaan.

Sementara itu, pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Abdul Rahim Md Din berkata, polis sudah mengambil keterangan dari pemandu treler bagi membantu siasatan.

Sinar Harian 

Empat laporan polis terhadap pemilik Facebook didakwa hina Agong

KLANG: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat empat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu dibuat oleh Gerakan Belia 4B Kota Raja; UMNO Cawangan Taman Desa Utama, Klang Jaya; Pemuda UMNO Kota Raja; dan Persatuan Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Kota Raja Muhd Ali Zakariah berkata pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun facebook itu kerana menghina ketua negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kami mengutuk tindakan pemilik akaun itu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Dia ibarat menghina sistem raja Melayu di negara ini.

"Kami gesa pihak berkuasa dapat siasat pemilik akaun Facebook itu dan dihukum dengan hukuman lebih berat sebagai amaran dan pengajaran pada orang lain," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Beliau berkata, akaun laman sosial itu didapati masih aktif dengan memuat naik pelbagai status mencerca keharmonian kaum di negara ini selain turut menghina Polis Diraja Malaysia, parti-parti politik dan sebagainya.

Bernama