Wednesday, 9 April 2014

Parti liar 'Topless Friday Beach Party' - Tiada permohonan diterima


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan parti liar 'Topless Friday Beach Party' Jumaat ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata sekiranya dimohon sekalipun, pihaknya tidak akan meluluskan sebarang program yang berunsur parti liar seperti itu di negara ini.

"Kita tak pernah lulus (permohonan)...Kita akan bagi surat tunjuk sebab kepada dia (penganjur) dan dia perlu jawab kenapa lesen mereka tak boleh ditarik.

"Dalam masa seminggu, jika mereka tak balas surat tunjuk sebab itu, kita akan ambil tindakan untuk batalkan lesen kelab itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Beliau berkata pada ketika ini, pihak penganjur telah diarah membuang semua poster bagi tujuan promosi parti berkenaan.

Parti itu dijadualkan berlangsung Jumaat ini bermula pukul 8 malam di sebuah kelab malam di Jalan Ampang dan meminta kaum wanita mamakai bikini atau yang lebih seksi manakala kaum lelaki diminta memakai seluar pendek sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Nor Azman Muhamad Yusuf yang dihubungi berkata polis akan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur jika parti itu diteruskan.

"Ia dibuat secara haram memandangkan pihak DBKL tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan. Kita tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur sekiranya mereka berdegil untuk meneruskan parti itu," katanya.

Nor Azman berkata polis menerima maklumat mengenai penganjuran parti itu semalam daripada orang ramai yang melihat iklan parti itu tersebar secara meluas dalam laman sosial sejak beberapa hari lepas.

"Setelah menerima maklumat dari orang ramai, kita terus menyiasat secara terperinci berkenaan pesta itu dan memanjangkannya kepada pihak DBKL," katanya.

Bernama

Wanita diserang beruang di Marang, ingat ajal sudah sampai

MARANG: Serangan beruang di ladang getah Kampung Alor Ketitir, Marang, Terengganu yang mengakibatkan seorang penoreh getah hampir maut adalah kejadian pertama seumpamanya dalam tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, akan menambah jumlah anggota untuk dalam usaha menangkap haiwan liar berkenaan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Yusof Shariff berkata pihaknya sedang berusaha mengesan beruang berkenaan dan menjangkakan tempoh antara satu hingga dua minggu untuk memerangkapnya.

“Kakitangan kita telah pergi ke tempat kejadian dan menyiasat dan kita dapati aduan tu berasaslah . Kita telah menghantar kakitangan kita untuk memasang perangkap dan membuat rondaan di kawasan tersebut. Kita juga pasang dua perangkap di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam kejadian 30 Mac lalu , Asmani Yahya, 60 tahun cedera parah diserang seekor beruang ketika menoreh getah bersama suaminya di ladang getah kampung Alor Ketitir.

Menurutnya, beruang terbabit muncul dari belakang menerkam dan mengheret mangsa ke hutan berhampiran.

“Beruang tangkap saya dari belakang, dia rebahkan saya dan mula menggigit. Saya rebah, saya ucap Allah, Allah, sebelum diselamatkan” kata Asmani.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah mengalami pendarahan teruk dan menerima tiga puluh jahitan di bahagian kepala, leher dan peha.

Sehubungan itu,jabatan PERHILITAN menasihatkan penduduk kampung agar berwaspada serta melaporkan kepada jabatan itu sekiranya melihat kelibat mencurigakan di kawasan hutan berhampiran.

Astro Awani