Tuesday, 1 April 2014

Koordinasi lemah didakwa punca tersilap kawasan pencarian lebih tiga hari - WSJ


KUALA LUMPUR: Lemahnya koordinasi di kalangan negara-negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 telah menyebabkan pihak terlibat tersilap mencari di kawasan yang salah di Lautan Hindi, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Lapor WSJ, ini terjadi berikutan kumpulan penyiasat dan pakar-pakar antarabangsa telah menjalankan siasatan secara berasingan untuk mengesan lokasi di mana pesawat berkemungkinan jatuh.

WSJ yang memetik dua sumber yang dikatakan ada kaitan dengan operasi pencarian berkata, kegagalan koordinasi mengambil tindakan pantas, menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan kaedah penyampaian maklumat kepada negara-negara terbabit.

Sedang sebuah pasukan menganggarkan kelajuan dan jumlah minyak yang digunakan oleh pesawat berdasarkan data radar dan prestasi pesawat, pasukan yang lain mengambil masa berhari-hari untuk meneliti data satelit, kata sumber itu.

Lokasi pencarian akhirnya diubah pada Jumaat lalu hanya selepas pihak berkuasa mengaitkan dua hasil siasatan terbabit.

“Hasil siasatan mendapat maklumat yang kredibel mengenai laluan dan lokasi pesawat berkemungkinan terhempas di perairan Australia,” kata Ketua Pesuruhjaya Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan kepada WSJ.

Sumber juga mengatakan pencarian adalah ‘satu proses mengambil masa dan pegawai penyiasat telahpun berkongsi maklumat dengan negara-negara terlibat’.

“Namun pihak berkuasa Malaysia tidak merasakan adalah peranannya untuk memastikan pakar-pakar antarabangsa ini berkongsi maklumat sesama mereka,” satu sumber memaklumkan kepada WSJ.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Astro Awani 

Waris sukar terima kenyataan tanpa bukti nyata


KUALA LUMPUR: Maklumat yang tidak pasti tentang misteri kehilangan pesawat penerbangan MH370, tentang apa yang terjadi kepada pesawat itu dan nasib 239 orang yang menaikinya pada 8 Mac lalu, menyukarkan ahli keluarga yang terlibat untuk menerima kenyataan dan menutup episod duka ini.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ke-17 operasi mencarinya bahawa pesawat itu mengakhiri penerbangan di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi meranapkan sedikit harapan yang mungkin masih ada pada ahli keluarga itu.

Ia juga tidak memuktamadkan episod ini kerana ahli keluarga yang terlibat terus menuntut bukti yang lebih konkrit bagi menjawab pelbagai persoalan yang bermain di benak mereka.

“Menerima sesuatu itu sebagai muktamad sangat subjektif dan berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain," kata pakar jenayah dan psikologi dari Universiti Sains Malaysia, Dr. Gershina Ayu Mat Saat.

"Sesetengah ahli keluarga waris (penumpang dan anak kapal) MH370 telah dapat menerima nasib yang menimpa orang yang tersayang sejak sebelum pengumuman itu lagi. Sesetengahnya menerima hakikat itu kemudian.

Bagi sesetengah orang, mereka perlu melihat bukti, mayat atau jenazahnya dulu," tambah beliau.


Model psikologi Kübler-Ross menggariskan lima peringkat emosi semasa berdukacita: penafian (denial), marah (anger), tawar-menawar (bargaining), kemurungan (depression) dan penerimaan (acceptance), atau lebih dikenali dengan kata singkatan, DABDA.

Menurut Gershina, tidak mengetahui apa yang berlaku barangkali adalah peringkat yang paling sukar dalam proses itu.

Ketika usaha mengesan pesawat itu diteruskan tanpa sebarang petunjuk atau serpihan yang ditemui, rasa dukacita dan kehilangan bertukar menjadi marah apabila ada ahli keluarga yang melepaskan kemarahan mereka kepada pihak berkuasa yang didakwa menyembunyikan maklumat tentang kehilangan pesawat itu.

Waris keluarga penumpang China sebelum ini mengadakan protes di jalan raya menuntut 'kebenaran' dan menuduh kerajaan Malaysia sebagai 'pembunuh'. Sentimen negatif terhadap Malaysia dipanaskan lagi oleh beberapa selebriti China yang menggesa rakyat negara itu memboikot barangan Malaysia dan tidak melancong ke negara ini.

Jelas Dr. Gershina, ada perbezaan cara masyarakat lain memberikan reaksi kepada kematian tetapi adalah lazim atau kebiasaanya untuk merasa marah dan menyalahkan seseorang.

"DABDA tidak semestinya berlaku secara kronologi. Adakalanya emosi itu datang dan pergi. Sesetengah orang akan menyalahkan dahulu dan itu adalah emosi yang ada kaitan dengan kemarahan," katanya.


Misteri kehilangan pesawat MH370 yang tidak dapat dijelaskan, dan kemudiannya mencetuskan pelbagai teori konspirasi, setakat ini menyebabkan ahli keluarga penumpang dan anak kapal mempersoalkan naratif yang dikemukakan oleh kerajaan.

"Perbezaan utama dalam kes MH370 ini ialah bukti nyata. Keadaan ini samalah seperti apabila askar mati dalam perang dan mayatnya tidak ditemui atau keadaan yang mana mayatnya tidak dapat dibawa balik."

"Dalam keadaan dukacita yang biasa, waris akan ada peluang untuk menjangkakan kematian (seperti umur tua atau penyakit). Dalam kes seperti perang, bencana atau kemalangan, kehilangan itu mengejut dan tidak dijangka. Proses berdukacita itu jadi berbeza dan lebih sukar untuk mereka menerimanya," tambah beliau.

Astro Awani