Monday, 24 March 2014

Wanita didakwa kena culik 3 hari sebelum nikah


Seorang pengguna Facebook melaporkan kejadian wanita diculik serta nombor kereta yang didakwa digunakan oleh suspek.


ALOR SETAR - Seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil, Baling, enam hari lalu.

Dalam kejadian Selasa lalu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta.

Menurut sumber, keluarga wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tawar pada hari kejadian.

Susulan kejadian itu, seorang pengguna laman Facebook turut menghebohkan kejadian itu berserta nombor pendaftaran kereta yang didakwa digunakan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima laporan kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai orang hilang dan bukan penculikan selepas siasatan lanjut dilakukan.

“Siasatan mendapati wanita terbabit melangsungkan perkahwinan pada 21 Mac (kelmarin) sebelum dilaporkan hilang. Dia juga dipercayai mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang.

“Jadi setakat ini kita klasifikasi kes sebagai orang hilang yang berpunca masalah dalaman keluarga dan wanita terbabit,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian 

Anak pasangan M'sia ditahan di Sweden ikuti kelas intensif Bahasa Melayu

Sweden

KUCHING: Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden kini mengikuti kelas intensif mata pelajaran Bahasa Melayu bagi membantu meningkatkan penguasaan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Kelantan telah pun memulakan kelas berkenaan bagi  membantu empat beradik itu.

"Ini adalah antara langkah diambil bertujuan membantu Aisyah Azizul Raheem, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu memandangkan mereka berempat kini berada dalam keadaan yang stabil dan tidak lagi tertekan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Keusahawanan Wanita 2014 di sini, hari ini.

Sementara itu, Rohani berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar dua lagi laporan berkala kepada Wisma Putra mengenai keadaan empat beradik itu, Jumaat lepas.

Menurut Rohani laporan yang diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial Sweden itu melaporkan perkembangan fizikal dan emosi empat beradik itu.

"Di dalam laporan berkala itu, dinyatakan empat beradik berkenaan sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan bergaul mesra dengan rakan sebaya di sekolah.

Beliau berkata JKM akan sedaya upaya membantu keluarga berkenaan supaya dapat bersatu semula dan sentiasa cuba memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak Sweeden dengan baik.

Ibu bapa empat beradik itu, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas setelah didakwa memukul anak mereka, kini dibicarakan di Mahkamah Daerah di Solna, Stockholm.
Bernama