Sunday, 23 March 2014

'Harapan semakin tinggi' untuk rungkai misteri, kata PM Australia


SDYNEY: Perdana Menteri Australia, Tony Abbot telah menyuarakan harapan yang semakin tinggi untuk merungkai misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan 239 penumpang di dalamnya selepas beberapa serpihan yang tidak dikenal pasti dijumpai di kawasan pencarian.

"Ia masih terlalu awal untuk menjadi kepastian, tetapi jelas kita kita kini telah mempunyai beberapa petunjuk yang sahih dan terdapat harapan yang semakin tinggi,” kata Abbot.

Abbot berkata demikian selepas beberapa objek yang belum dikenal pasti ditemui di kawasan pencarian untuk pesawat tersebut, kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth.

Apabila ditanya mengenai butiran objek tersebut, Abbot berkata "beberapa objek kecil berada agak rapat di dalam zon pencarian Australia, termasuk, sebuah, palet kayu."

Komen berkenaan diberi tidak sampai beberapa jam pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) membuat pengumuman pada Ahad bahawa "usaha akan terus dibuat untuk menentukan sama ada objek yang ditemui ada kaitan dengan MH370”.

Walaubagaimanapun, Abbot tidak mengkhususkan imej satelit Cina bertarikh 18 Mac, yang dikeluarkan pada Sabtu, menunjukkan sekeping serpihan besar yang terapung berdekatan dengan imej-imej satelit yang dikeluarkan sebelum ini.

Abbot turut berkata keyakinannya bertambah dengan peningkatan asset yang digerakkan untuk tujuan mencari pesawat itu.

"Jelas sekali, lebih banyak pesawat dan kapal laut yang kita ada, kita lebih yakin untuk membawa naik apa-apa objek yang ada di bawah sana.

“Dan jelas sebelum kita boleh mengkhususkan apa-apa kemungkinan, kita perlu membawa naik apa-apa objek-objek ini.

Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang awal pada pagi 8 Mac lalu.

Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut dan ia masih belum ditemui lagi. - AFP 

China kesan imej 22 meter panjang, 13 meter lebar di koridor selatan

Satelit China


SEPANG: Satelit pihak berkuasa China merakamkan imej sebuah objek berukuran 22.5 meter panjang dan 13 meter lebar di kawasan Lautan Hindi yang kini menjadi zon tumpuan mengesan pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak dua minggu lalu.

Imej itu dirakamkan pada pukul 12 tengahari, 18 Mac lepas di kawasan yang terletak kira-kira 120 kilometer ke arah barat daya dari lokasi dua objek terapung dirakamkan oleh sebuah satelit lain dua hari sebelumnya.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media harian di sini petang tadi selepas menerima nota daripada Duta China ke Malaysia, Huang Huikang.

“Saya ada berita terbaru," kata Hishammuddin sebelum membaca nota bertulis tangan yang ada pada tangannya.


Pada 20 Mac lalu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyampaikan maklumat penemuan dua imej satelit bersaiz 24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370.


Pakar kejuruteraan penerbangan berpendapat, objek berkenaan berkemungkinan sayap pesawat Boeing 777-200ER.

Semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari di koridor selatan telah mengerahkan pesawat dan kapal laut masing-masing ke kawasan pencarian yang terletak lebih kurang 2,300 kilometer ke barat daya Perth.

Walaubagaimanapun, objek tersebut masih gagal ditemui hingga hari ini selepas tiga hari misi pencarian dijalankan bermula Khamis.



Sumber: ASTRO Awani