Thursday, 20 March 2014

Malaysia kerahkan aset untuk sahkan objek yang dikesan - Hishammuddin


SEPANG: Pesawat dan kapal telah dikerahkan untuk mengesahkan objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bercakap kepada pemberita sebelum mesyuarat delegasi Australia di Hotel Sama - Sama di sini, beliau berkata maklumat itu merupakan petunjuk baru dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang masuk hari ke-13 pada Khamis.

"Seperti yang saya telah lakukan dari hari pertama, kita mengikuti setiap perkembangan. Harap-harap ini merupakan satu perkembangan positif," kata beliau sambil menambah bahawa ia adalah terlalu awal untuk mengesahkan di mana serpihan itu ditemui.

Ditanya apa jenis serpihan telah dijumpai dan berapa lama ia akan mengambil masa untuk mengesahkan ia, Hishammuddin berkata: "Kita tidak akan tahu, pesawat dan kapal telah dikerahkan"

Kawasan carian untuk carian Australia telah dikurangkan kepada 300,000 kilometer persegi daripada 600,000 kilometer persegi.

"Seperti yang telah kita lakukan dengan imej daripada satelit China dan serpihan lain yang beberapa petunjuk lebih awal. Kami menggunakan format yang sama."

Hishammuddin enggan mendedahkan maklumat apa yang telah diberikan oleh kerajaan Australia.

Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot memaklumkan kepada parlimen negara tersebut mengenai penemuan dua imej satelit bersaiz24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) itu dalam penerbangan ke Beijing dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu dan masih belum ditemui sehingga hari ini.

Astro Awani 

Objek terbesar yang dikesan terapung di Lautan Hindi berukuran 24 meter


KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) hari ini mengesahkan bahawa salah satu objek terapung yang ditemui di kawasan pencariannya berukuran 24 meter.

Pegawai AMSA John Young berkata sebuah lagi objek yang ditemui adalah lebih kecil.

Namun demikian Young menekankan bahawa objek-objek berkenaan mungkin tiada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Beliau berkata sejurus menerima berita tentang objek-objek tersebut, empat pesawat telah dihantar ke kilometer 2,500 barat selatan Perth.

Beliau turut berkata pesawat tentera udara Australia, Orion, telah dihantar ke kawasan tersebut pada pukul 1.50 petang.

Tiga lagi pesawat Poseidon dijangka tiba di kawasan tersebut pada pukul 3 petang.

Beliau menambah, cuaca mendung dan jarak penglihatan terhad mungkin mengganggu operasi mencari objek tersebut.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot mengumumkan di Parlimen negara itu bahawa dua objek yang mungkin berkait rapat dengan pesawat MAS MH370 yang telah dijumpai.

Australia mengetuai pasukan pencarian di bahagian selatan Lautan Hindi.

Abbot berkata pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah menerima maklumat tersebut berdasarkan maklumat yang diterima daripada satelit.

"Berikutan analisis pakar imej satelit ini, dua objek mungkin berkaitan dengan pencarian telah dikenal pasti," katanya.

The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa Abbot telah memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini.

Astro Awani