Thursday, 20 March 2014

Mengapa tiada penumpang yang cuba menghubungi keluarga?


BANGKOK: Dalam dunia yang mementingkan media sosial dan telefon pintar, soalan mengapa seorang pun penumpang pesawat MH370 tidak cuba menghubungi saudara mara mereka seperti semasa kejadian serangan 9/11 masih menjadi tanda tanya.

Ia mungkin menunjukkan bahawa pesawat itu terbang terlalu tinggi atau berada di atas air, atau mungkin juga bahawa penumpang yang tidak sedarkan diri disebabkan oleh perubahan tekanan kabin.

Pakar mengatakan peluang 239 orang di atas pesawat itu untuk menggunakan telefon bimbit mungkin akan lebih baik sekiranya terdapat rangkaian telefon di darat.

Namun, ramai yang ragu-ragu bahawa penumpang atau anak-anak kapal akan dapat membuat panggilan menggunakan telefon bimbit semasa dalam perjalanan yang laju.

Sekiranya telefon bimbit digunakan, perlu ada perhubungan di antara sebuah telefon bimbit dan rangkaian telefon.

Perhubungan ini dikenali sebagai ‘handshake’ dan untuk suatu ‘handshake’ berlaku, perlu ada isyarat yang kuat di antara menara penghantaraan dan telefon.

“Rangkaian telefon boleh berfungsi dalam rangkuman sel 23,000 kaki (7,000 meter) dan 45,000 kaki,” kata Koh Chee Koon, perunding telekomunikasi dari Singapura.

Tetapi memandangkan kuasa terhad penghantaran telefon bimbit komersil, serta halangan oleh badan kapal terbang, hanya tuah yang akan membantu perhubungan kepada rangkaian telefon, kata Koh.

Pakar-pakar berkata di dalam kes serangan di Amerika Syarikat pada 11 September 2001, pesawat itu terbang pada ketinggian yang rendah di kawasan yang mempunyai rangkaian telefon.

Baru-baru ini beberapa syarikat penerbangan telah memperkenalkan teknologi bagi membolehkan penumpang menggunakan telefon mereka semasa penerbangan, menggunakan stesen pangkalan selular kecil di atas pesawat, tetapi Malaysia Airlines berkata perkhidmatan ini tidah ada di dalam MH370.

Profesor Emeritus Komputer Sains dari Universiti Western Ontario, Kanada, AK Dewdney, berkata tanpa perkhidmatan ini, telefon bimbit tidak boleh digunakan pada ketinggian lebih daripada kira-kira 0.5 kilometer di dalam pesawat komersial, di mana ia tidak boleh terlalu jauh dari menara telefon.

"Pada ketinggian penerbangan biasa, tiada telefon bimbit mungkin boleh berjaya membuat sebarang perhubungan dengan kawasan darat kerana ia tidak berada di dalam rangkaian telefon,” katanya. - AFP 

MH370: Inikah dia?

KUALA LUMPUR: Apakah misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang ghaib daripada radar sejak 8 Mac lalu akan mula terjawab hari ini — pada hari ke-13 usaha mengesannya?

Apakah objek yang dikesan oleh satelit di selatan Lautan Hindi adalah bahagian daripada pesawat Boeing 777-200 itu? Apakah petunjuk kali ini betul dan tidak seperti beberapa petunjuk sebelum ini yang kemudiannya disahkan tidak betul?

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengetuai misi mencari pesawat yang hilang itu di jalur selatan dengan kerjasama Angkatan Tentera Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Awal hari ini, ia menerima imej satelit yang menunjukkan dua objek yang boleh jadi ada kaitan dengan pesawat yang dicari itu.

"Ini satu petunjuk. Ini mungkin petunjuk yang terbaik yang ada setakat ini," kata Ketua Pengarah Bahagian Kecemasan AMSA, John Young dalam satu sidang media yang jadi perhatian dunia tengahari tadi.

map sar aussie 1


Satu daripada objek itu dikatakan berukuran 24 meter panjang. Objek yang kedua itu lebih kecil. Apakah ini bahagian daripada pesawat MH370? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak.

Semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari di jalur selatan itu kemudiannya mengerahkan pesawat dan kapal laut masing-masing ke kawasan carian yang terletak lebih kurang 2,500 kilometer ke barat daya Perth. Waktu di Perth sama dengan waktu di Malaysia. Sebuah pesawat tiba di kawasan itu pada pukul 1.50 petang. Lima buah pesawat dijadual tiba pada pukul 3 petang manakala dua buah pesawat lagi akan berlepas ke kawasan itu pada pukul 6 petang dan 8 malam.

Sebuah kapal dagang yang kebetulan ada dekat kawasan itu juga menyahut seruan untuk menyertai operasi. Ia dijangka tiba pada pukul 6 petang.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyampaikan perkembangan terbaru ini pada pukul 10 pagi tadi. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga diberikan taklimat sama oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

"Setakat ini, pihak berkuasa Australia masih belum memastikan apakah objek berkenaan ada kaitan dengan misi mencari MH370," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.


map sar aussie 2


Usaha mengesan objek yang dirakamkan oleh satelit itu bukan mudah. Jarak penglihatan di kawasan berkenaan dilaporkan tidak begitu baik biarpun cuaca dilaporkan sederhana. Tetapi setakat ini dunia diberitahu bahawa "inilah petunjuk terbaik".

Beberapa petunjuk sebelum ini terbukti tidak betul dan pada suatu ketika disifatkan sebagai membantutkan tumpuan usaha mencari dan menyelamat. Ada tompokan minyak yang dijumpai di Laut China Selatan yang kemudiannya disahkan bukan daripada pesawat. Ada objek yang dikesan oleh pihak berkuasa Vietnam yang kemudiannya didapati tidak ada kena-mengena dengan pesawat MH370. Ada juga imej satelit yang dikeluarkan oleh China yang kemudiannya diumumkan sebagai "telah tersilap edar". Terakhir, penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah pada pagi kejadian. Itupun tidak benar serta dinafikan oleh tentera dan pihak berkuasa penerbangan Maldives.

Tetapi apakah imej satelit yang diterima oleh pihak berkuasa di Australia ini akan memberikan kita gambaran awal apa yang sebenarnya terjadi kepada pesawat MH370?

"Kita perlu sampai ke sana terlebih dulu, cari (objek itu), lihat dan nilai untuk mengetahui apakah ia bermakna atau tidak," kata Young.


map sar aussie 1


Beliau juga memberi dua peringatan: usaha mencari objek yang dirakamkan oleh satelit itu tidak mudah dan kalau ditemui nanti, ia mungkin tidak ada hubung kait dengan pesawat MH370.

Tetapi setakat hari ini — pada hari ke-13 — operasi mengesan pesawat MH370 yang hilang dengan penuh misteri mendapat petunjuk baru. Adakah ini harinya — selepas kita menunggu selama hampir dua minggu khabar berita pesawat yang hilang itu? Apakah ini yang dicari-cari sejak 8 Mac lalu?


Sumber: Astro Awani