Tuesday, 18 March 2014

Belajar hidup susah sebelum perlekeh Wan Azizah

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KAJANG - "Baru kena ugut tampar sudah panik, inikan pula mahu mempelekehkan (Datin Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail)yang sudah hidup susah dan kenal makna sebenar keadilan," demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak layak berbuat demikian sehinggalah beliau sendiri mengenali erti keadilan dan belajar cara hidup susah tanpa bergantung kepada kemewahan keluarga.

"Khairy... Jangan cakap sombong, kamu belajar dulu hidup susah dulu dan cakap banyak.

"Kalau salah, hukum tak apa, 16 tahun setiap hari dimalukan, sejak 1998 saya setengah mati kena pukul, jangan sombong, ini hari ini kamu menteri, esok belum tentu lagi," katanya pada ceramah umum di Kampung Baru Sungai Chua, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu yang menggelar, Presiden PKR itu sebagai boneka kerana terpaksa menjadi calon bidang terjun di PRK N25 Kajang.

Menurut Anwar yang mempertahankan isterinya sambil berkata, Wan Azizah merupakan pelajar cemerlang yang dianugerahkan pingat emas sewaktu melanjutkan pelajaran di luar negara dalam jurusan kedoktoran tanpa sebarang bantuan dan pengaruh keluarganya.

"Masa Wan Azizah belajar di Royal College of Surgeons Ireland, dia adalah salah seorang daripada 'top student', bukan sebab kouta atau bapa dia kaya dan menteri.

"Bila saya masuk penjara, dia ambil alih tanggungjawab (tuntut keadilan)," katanya lagi.

Sinar Harian 

Ditamat kontrak, Hanez berdiam diri

Hanez Suraya
Hanez Suraya

PELAKON jelita, Hanez Suraya enggan mengulas panjang apabila ditanya tentang penarikan kontraknya sebagai duta produk kecantikan, Aura White baru-baru ini.

"Maaf semua no komen buat masa sekarang," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada wartawan Sinar Harian Online.

Memetik laporan sebuah media arus perdana, pihak pengurusan produk kecantikan tersebut dikhabarkan menarik semula kontrak Hanez ekoran wujud pihak tertentu didakwa cuba menghasut pengguna memboikot produk itu.

Sementara itu, laporan sebuah portal hiburan mengatakan, kontrak Hanez sebagai duta rasmi produk itu ditarik semula selepas kisah cintanya dengan suami orang teruk dikecam masyarakat.

Hanez sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa dia sedang hangat menjalin hubungan dengan suami orang.

Susulan dari pengakuannya, pelbagai pihak termasuk peminatnya mula mengkritik dan mengecam pelakon 3 Janji itu.

Cubaan Sinar Harian Online untuk mendapatkan maklumat lanjut menemui jalan buntu selepas Hanez menolak untuk memberikan sebarang ulasan berkenaan isu terbabit.

Dalam pada itu, Sinar Harian Online telah menghubungi pihak pengurusan Aura White untuk mengetahui dengan lebih lanjut namun tiada sebarang pengesahan yang diberikan oleh pihak terbabit.

"Pihak kami tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung soal penarikan kontrak Hanez Suraya sebagai duta produk kami.

"Kami juga tidak mahu beri sebarang kenyataan buat masa sekarang," kata salah seorang wakil pengurusan Aura White yang enggan namanya dikenali kepada Sinar Harian Online.

Dalam satu kenyataan akhbar 2 Mac lalu, isteri Mr R, Nurliyana Abd Manan mendakwa Hanez menjadi punca keruntuhan rumah tangganya dan Hanez juga didakwa merampas suaminya.

Pendedahan yang dilakukan Nurliyana telah menyebabkan Hanez dihujani pelbagai komen negatif dan hinaan di laman sosial seperti Instagram dan Twitter.

Sehubungan dengan itu, Hanez telah menganjurkan satu sidang media untuk memperjelaskan perkara sebenar kepada umum, namun pelakon terbabit terus menerima kecaman dan kritikan orang ramai.

Sinar Harian