Sunday, 9 March 2014

Kehilangan MH370: Perkembangan hari pertama

MAS


Kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines menggemparkan rakyat Malaysia dan dunia. Ia menjadi tajuk utama berita dunia dan trending di media sosial. Berikut adalah antara perkembangan yang berlaku hari ini:


  • Pesawat Malaysia Airlines dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal hari ini.
  • Penerbangan MH370 itu membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal.
  • Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat Boeing 777 itu tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tadi.
  • Pada jam 10.30 pagi, MAS mengeluarkan kenyataan media bahawa mereka berusaha menghubungi ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal penerbangan
  • Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari turut mengesahkan penumpang-penumpang adalah dari 15 negara termasuk China, Indonesia, Australia, Perancis, dan Malaysia. 
  • Pada masa yang sama, pihak Malaysia Airports Holdings Berhadmenyuruh orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kejadian susulan beberapa spekulasi di Twitter.
  • Beberapa ahli politik negara menggunakan Twitter untuk menyeru orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia MH370
  • Selain itu, warga Twitter juga bersedih sehingga hashtag #MH370 dan #PrayForMH370 menjadi trending. 
  • Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dalam satu sidang media bahawa  kesahihan laporan media Vietnam yang mendakwa pesawat itu terhempas sedang disahkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia dengan tentera laut Vietnam.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mengesahkan tiada bangkai pesawat MH370 ditemui di laut selatan negara itu seperti yang dilaporkan sebelum ini. Beliau turut menafikan bahawa terdapat cubaan merampas pesawat tersebut.
  • MAS telah menyiarkan senarai penumpang dan kru MH370 yang hilang.
  • Jabatan Penerbangan Awam berkata laporan media tentang dua tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam masih sedang disahkan.

Sumber: ASTRO Awani 

Tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam belum disahkan - DCA


KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini berkatalaporan media tentang dua tompokan minyak yang ditemui dalam operasi mencari yang dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam, masih belum disahkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa di Vietnam untuk mengesahkan laporan Akhbar Tuoi Tre itu tetapi tidak lagi menerima sebarang jawapan.

Akhbar itu melaporkan bahawa tompokan minyak itu masing-masing sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain itu ditemui juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian tersebut.

Tompokan minyak itu dilaporkan ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam.

Selain tompokan minyak, pasukan pencari Vietnam juga dilaporkan mengesan kepulan asap di permukaan laut berhampiran tempat tompokan minyak ditemui di koordinat 7.25 utara, 103.2320 timur.

Azharuddin turut berkata pihaknya juga telah meneliti rakaman CCTV berkaitan penumpang pesawat terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan keganasan.

"Kami tidak menolak semua kemungkinan," kata Ahmad Jauhari apabila ditanya wartawan samada kejadian itu ada kena mengena dengan keganasan.

Pencarian pesawat MH370 akan diteruskan sepanjang malam ini dan pencarian akan diperluas meliputi semua kawasan perairan di Malaysia termasuk laut China Selatan dan Selat Melaka mengikut prosedur operasi standard DCA dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.

Sumber: Astro Awani