Thursday, 20 February 2014

Ketiadaan Mat Yo jadi tanda tanya

Mat Yo
Mat Yo

PETALING JAYA - Ketiadaan kelibat penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada sesi latihan hari pertama skuad Harimau Malaya hari ini di padang latihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi tanda tanya.

Pengendali sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata sebagai pemain profesional, Norshahrul sepatutnya melaporkan diri pada hari pertama sesi latihan.

"Ini bukan kali pertama beliau dipanggil dalam skuad kebangsaan, sepatutnya beliau lapor diri dulu. Beliau perlu memberikan surat rasmi (tidak hadir latihan) bukan secara lisan sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang FAM, Kelana Jaya di sini.

Antara pemain skuad Harimau Malaya yang melapor diri hari ini ialah Mohd Baddrol Bakhtiar, Mohd Farizal Marlias, Mohd Safee Mohd Sali, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Badhri Mohd Radzi.

Selain Norshahrul, seorang lagi penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah turut tidak hadir kerana masalah peribadi.

"Amri ada beritahu saya beliau tidak dapat hadir hari ini kerana masalah keluarga jadi kita tunggu perkembangan mereka," katanya. 

Kim Swee berkata beliau lebih memberi penekanan pada bahagian pertahanan dan skuad kebangsaan tidak mempunyai masalah di bahagian serangan.

"Selain Mat Yo (Norshahrul), skuad masih ada penyerang seperti Mohd Safee Mohd Sali, Bobby Gonzales, Amri, Ahmad Fakri Saarani...yang penting adalah di barisan pertahanan," katanya.

Skuad Harimau Malaya membuat persiapan menentang Yemen pada perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), 5 Mac ini. - Bernama

Lapor polis jika 'pekerja TNB' hadir

TNB

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang awam supaya berwaspada dengan pihak yang menyamar sebagai anggota kerja atau kontraktor TNB, yang menjadikan penduduk luar bandar sebagai sasaran untuk menipu.

TNB dalam kenyataan hari ini meminta pengguna menghubungi pejabat TNB berhampiran dan polis jika didatangi individu yang menyamar sebagai pekerjanya untuk membuat pemeriksaan pendawaian dalam rumah dan meminta bayaran elektrik.

Syarikat itu menjelaskan anggota kerja TNB yang menjalankan tugas di premis pengguna diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat berupa kemeja t berwarna merah dengan logo TNB, jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota kerja itu.

Selain itu, anggota kerja yang memeriksa meter elektrik hanya akan masuk ke halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kuasa yang memaparkan gambar anggota kerja, nombor pekerja dan nombor kad pengenalan bagi kontraktor TNB.

Pemeriksaan juga hanya akan dibuat setakat meter di luar rumah dan tidak dibenarkan membuat pemeriksaan pendawaian dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa TNB.

Menurut TNB sebarang transaksi pembayaran untuk syarikat itu seperti deposit hanya dilakukan di kaunter-kaunter Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) dan bukan melalui orang perseorangan. - Bernama