Saturday, 8 February 2014

Ibu 100 tahun bela anak OKU 62 tahun

Ibu 100 tahun bela anak OKU 62 tahun
Meliah Md Diah yang berusia 100 tahun (kiri) memberi minum kepada anaknya Abd Rahman Saud, 62, yang juga orang kelainan upaya (OKU) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing Kanan di Kuala Nerang hari ini. Turut memerhati Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang yang turun padang melawat keluarga tersebut. Warga emas itu masih mempunyai kudrat yang kuat untuk menjaga dan menguruskan anak bongsu daripada empat baradik itu yang mengharapkan bantuan orang lain untuk bergerak selepas diserang penyakit sawan sejak kecil. Suaminya Saud Ismail meninggal dunia sejak 20 tahun lepas dan tiga anaknya turut meninggal dunia pada usia muda. Kegigihan dan kecekalan warga emas ini perlu dijadikan tauladan kepada orang ramai dalam menjaga dan menguruskan anak istimewa ini. - Foto Bernama


KUALA NERANG - Sudah 62 tahun, seorang ibu yang kini dipercayai berusia lebih 100 tahun membela anak lelakinya yang kelainan upaya (OKU).

Meliah Md Diah yang kematian suami 20 tahun lalu berseorangan menjaga anaknya Abd Rahman Daud, 62, di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing, di sini.

Abd Rahman cacat anggota badan akibat diserang sawan sejak kecil. 

Anak bongsu dari empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan ibunya untuk makan, mandi dan bergerak.

Adik-beradik Abd Rahman yang lain sudah meninggal dunia.

"Hari-hari mak cik suap nasi sebab dia tak boleh makan sendiri. Mak cik mandi dia, pakaikan baju dan dudukkan dia di beranda rumah berehat. Ada adik beradik mak cik mai jenguk(datang ziarah) dan tolong," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai usianya yang panjang, Meliah berkata beliau banyak memakan ulam dan makanan berebus.

"La ni (sekarang) cuma sakit tua saja, tak larat, telinga pun tak berapa nak dengar dan mata sikit kabur," katanya yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mak Cik bersyukur sebab diberi nikmat kesihatan dan kekuatan untuk jaga anak istimewa ni. Kalau kata satu hari nanti Mak Cik pergi dulu (meninggal dunia), harap adik beradik lain dapat jaga dia (Abd rahman) dengan baik," katanya.

Namun nasib dua beranak ini mendapat pembelaan apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri, Badrol Hisham Hashim.

Badrol Hisham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang berkata, selain menyumbangkan keperluan harian, pihaknya akan membina sebuah rumah baharu bagi memudahkan dua beranak itu bergerak dan keluar masuk rumah tanpa perlu memanjat tangga.

"Kalau lihat rumah mereka agak uzur dan mereka terpaksa naik turun tangga. Kita akan bina rumah yang lebih selesa dan akan beri kelengkapan lain seperti kerusi roda," katanya yang turut meminta pihak korporat menghulurkan sumbangan.

Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut membantu dengan membuat kad pengenalan baharu untuk Abd Rahman yang kali terakhir dibuat pada Januari 1969 ketika berusia 17 tahun.

Ketua Unit Komunikasi Korporat JPN Kedah, Basharudin Ibrahim berkata kad pengenalan baharu itu akan siap dalam tempoh 10 hari lagi. 

 Bernama

Rancangan Taib bersara bukan cerita baru

Tan Sri Abdul Taib Mahmud
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud


KUCHING - Walaupun spekulasi bahawa Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan bersara bukan lagi merupakan berita mengejutkan bagi mereka, namun rakyat Sarawak menunggu dengan penuh debar hasil mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), pada 8 Februari 2014.

Mesyuarat itu akan dihadiri semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Anggota Parlimen daripada PBB di ibu pejabatnya di Jalan Bako di sini. 

Sesetengah pihak menjangka Abdul Taib akan mengumumkan persaraannya sebagai presiden parti dan ketua menteri dalam mesyuarat kali ini, manakala yang lain pula berpendapat ia hanya mesyuarat biasa memandangkan mesyuarat seperti itu tidak pernah diadakan sejak pilihan raya umum pada Mei tahun lepas. 

Kali terakhir mesyuarat serupa diadakan ialah sebelum berlangsungnya pilihan raya umum berkenaan apabila anggota Majlis Tertinggi diundang pada saat-saat akhir untuk menghadirinya pada waktu malam. 

Keadaan itu memaksa petugas media menunggu hingga jauh malam, tetapi akhirnya mereka pulang tanpa membawa berita yang mereka jangka iaitu pengumuman Abdul Taib tentang persaraannya.

Bagi rakyat Sarawak, rancangan Abdul Taib untuk bersara bukan lagi berita baharu kerana ia telah heboh diperkatakan menjelang berlangsungnya pilihan raya umum lepas setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Sibu bahawa ketua menteri itu akan bersara sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri.

Minggu ini, sebuah akhbar kebangsaan mencetuskan spekulasi serupa. Seperti biasa, banyak orang menganggapnya sebagai berita lapuk yang dikitar semula. 

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan ialah pada hari berikutnya, tiada satu pun akhbar Sarawak menyiarkan berita susulan tentang perkara itu, kecuali akhbar kebangsaan.

Minggu ini, Abdul Taib tidak menghadiri dua majlis – majlis makan malam Lembaga Lindungan dan Pembangunan Tanah Sarawak dan majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Lama kepada penjawat awam negeri - walaupun beliau diundang sebagai tetamu kehormat.

Menteri Perancangan Sumber Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu masing-masing mewakili Abdul Taib pada majlis itu.

Perkara ini menjadi lebih menarik apabila media di sini semalam menerima nota kepada pengarang daripada Jabatan Penerangan bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menghadiri taklimat tentang persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 10 Februari di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Pilihan raya negeri ini hanya perlu diadakan pada 2015.

Apabila diminta mengulas perkara itu, para pemimpin PBB berkata mereka tidak mempunyai maklumat tentang agenda mesyuarat berkenaan. 

Jabu meminta petugas media bersabar kerana beliau akan hanya mengetahui tentang agenda mesyuarat itu apabila ia diadakan. 

Awang Tengah adalah antara pemimpin yang disebut-sebut akan mengambil alih jawatan Abdul Taib. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas perkara itu apabila Bernama memintanya berbuat demikian. 

Tiga lagi nama disebut-sebut sebagai pemimpin yang mungkin mengambil alih tempat Abdul Taib. Mereka ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Menteri Tugas-tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem; timbalan presiden PBB dan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; dan, bekas menteri persekutuan Datuk Seri Effendi Norwawi. 

Spekulasi juga tersebar luas bahawa Abdul Taib akan menggantikan Tun Mohammad Salahuddin Abang Barieng sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak. - Bernama