Tuesday, 4 February 2014

19 gunung berapi di Indonesia kini berstatus 'berjaga-jaga'


JAKARTA: Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia mengesahkan 19 gunung berapi di Indonesia kini berstatusberjaga-jaga atau Waspada.

Namun demikian, BNPB menasihatkan agar rakyatnya tetap tenang dan tidak panik ekoran kenyataan tersebut.

"Gunung berapi bersifat perlahan. Ia tidak akan meletus secara tiba-tiba. Tanda-tanda awal akan terlihat yang akan mengubah statusnya dari Normal, Waspada, Siaga (siap sedia) dan Awas (bahaya)," ujar Ketua Pusat Data, Informasi dan Humas, Dr. Sutopo Purwo Nugroho.

Memetik portal Suara Pembaharuan sebagai melaporkan, Dr. Sutopo berkata perubahan status beberapa gunung berapi ke tahap berjaga-jaga telah megurangkan aktiviti-aktiviti harian di kawasan sekitar dengan gunung berapi tersebut walaupun ia masih belum dianggap berbahaya.

Hingga kini, hanya Gunung Sinabung sahaja yang berstatus bahaya sejak 24 November 2013 lalu.

Gunung Karangetang, Seulewah dan Rokatenda berada di dalam keadaan status III atau siap sedia.

"Gunung -gunung berapi yang berstatus Waspada (status II) adalah Kelud, Raung, Ibu, Lewotobi Perempuan, Ijen, Gamkonora, Soputan, Sangeangapi, Papandayan, Dieng, Seulewah Agam, Gamalama, Bromo, Semeru, Talang, Anak Krakatau, Marapi, Dukono, dan Kerinci. Yang lain masih lagi berstatus Normal," ujar Sutopo.

Sutopo juga menjelaskan, status berjaga-jaga yang diberikan kepada 19 gunung berapi tersebut adalah berdasarkan daripada data-data yang menunjukkan sedikit peningkatan aktiviti bawah tanah melebihi aktiviti-aktiviti di status Normal.

Persiapan penduduk sekitar wilayah tersebut untuk menghadapi bencana harus dilakukan tetapi pada tahap minimum.

Manakala bagi status siap sedia, data-data yang diterima BNPB menunjukkan bahawa peningkatan aktiviti-aktiviti bawah tanah di sekitar gunung berapi mungkin mengakibatkan letusan atau bencana dan penduduk di kawasan terancam tersebut disarankan melakukan persiapan untuk menghadapi letusan dan juga bencana -bencana lain akibat daripada letusan gunung berapi dilakukan dengan lebih giat lagi. - Astro Awani 

Bekas timbalan menteri pelajaran meninggal dunia

KUCHING: Bekas timbalan menteri pelajaran bagi tahun 1984-1986 Datuk Haji Bujang bin Ulis meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 pagi Isnin di kediaman beliau di 524, Kampung Semariang Jaya, Petra Jaya, pada usia 66 tahun.

Allahyarham yang juga bekas seorang pendidik pernah berkhidmat di beberapa sekolah di Sarawak di samping turut pernah menjadi pengetua di sebuah sekolah di Kuching sebelum dilantik menjadi timbalan menteri perusahaan utama penggal 1980 hingga 1983.

Allahyarham Bujang yang turut dikenali sebagai Bujang Hadziri Ulis difahamkan tidak menghidap sebarang penyakit dan rebah di depan ahli keluarganya di kediaman mereka selepas menonton televisyen.

Allahyarham meninggalkan isteri Maimunah binti Sebli, 58 tahun dan tujuh orang anak (tidak termasuk dua yang telah meinggal dunia) yang kesemuanya perempuan dan tiga cucu.

Selain melibatkan diri dalam bidang pendidikan, Allahyarham juga aktif dalam bidang politik dimana pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong dan pernah bertanding namun tewas kepada Datuk Naroden Majais bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Simunjan.

Jenazah Bujang dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.

Turut hadir menziarah jenazah ialah Datuk Paduka Ah Mordiah Tuanku Fauzi, Datuk Abdul Karim Hamzah, Datuk Naroden Majais, Datuk Putit Matzen, YB Sh Hasidah Syed Aman Ghazali, Datuk Talip Zulpilip serta rakan-rakan seperjuangan dalam bidang pendidikan. - ASTRO Awani