Sunday, 2 February 2014

Majoriti anggap Hari Wilayah Persekutuan sebagai hari cuti biasa


KUALA LUMPUR: Cuti umum bagi mereka yang menetap di Wilayah Persekutuan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dianggap sebagai hari cuti biasa oleh majoriti pembaca AstroAwani.com.

Menurut undian yang dilakukan di laman web ini, 42.34 peratus yang mengundi berkata mereka tidak kisah dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan. 33.33 peratus akui tidak menghayatinya dan hanya 24.32 peratus sahaja yang berkata mereka menghayatinya.

Tarikh Februari 1 menandakan ulang tahun penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1974. Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan pada April 16,1984 manakala pada 1 Februari 2001, Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan ketiga.

Walaubagaimanapun, sesetengah rakyat Malaysia tidak tahu menahu tentang sejarah hari tersebut dan hanya menganggap ia sebagai hari cuti biasa tanpa menghargainya.

- ASTRO Awani 

Lima askar wataniah nyaris lemas

KANOWIT - Lima anggota askar wataniah nyaris lemas selepas perahu panjang yang mereka naiki terbalik dipukul ombak di Sungai Rajang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sedaya, hari ini.

Ketika kejadian, difahamkan kesemua mangsa baru selesai menjalani latihan ketenteraan dan dalam perjalanan pulang ke rumah panjang masing-masing di seberang sungai itu.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit Mohamad Bujang berkata perahu mereka dinaiki air dan sebelum terbalik menyebabkan kelima-lima lelaki berbangsa Iban itu terjatuh serta cuba berpaut pada perahu berkenaan sebelum berenang ke tebing sungai.

"Bagaimanapun ketika mereka sedang berenang, ombak semakin besar dan kebetulan beberapa penduduk rumah panjang di seberang sungai yang melihat kejadian itu segera menghulurkan bantuan.

"Penduduk kampung yang menaiki sebuah bot menyelamatkan kesemua mangsa dan membawa mereka ke Jeti Persinggahan Ekspres," katanya ketika dihubungi hari ini 

Beliau berkata tiga mangsa berada dalam keadaan stabil manakala dua lagi lemah dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kanowit. - Bernama