Monday, 27 January 2014

Sothea Ines muncul juara Tropfest SEA


GEORGETOWN: Seorang gadis berusia 20 tahun dari Kemboja, Sothea Ines muncul sebagai juara Tropfest South East Asia (SEA), sebuah festival filem pendek.

Karya arahannya, ‘Rice’ menang tempat pertama, mengalahkan 11 calon lain, di dalam festival yang berlangsung di Pulau Pinang sejak 20 Januari lalu.

Graduan University Phnom Penh ini menulis sendiri skrip, mengarah dan menerbitkan filem 'Rice' sekali gus membawa pulang USD10,000 dan melancong ke Los Angeles tajaan Motion Pictures Association.

Tempat kedua dimenangi oleh peserta dari Kemboja, Polen Ly, dengan karya berjudul 'Duetto', mengangkat elemen kemanusian dan kehidupan golongan kurang upaya.

Sementara itu, "The Last Flight' karya Ezequiel Paolinelli menjadi satu-satunya taruhan peserta dari Malaysia./

The Last Flight cuma boleh berpuas hati di tempat ketiga.

Sementara itu, pengarah Tropfest SEA 2014, Joe Sidek berkata, penganjuran kali ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan 180 peserta dari Asia Tenggara.

Pada masa akan datang, beliau berharap lebih ramai dari peserta Malaysia dan pengarah melayu terlibat dalam festival seperti itu.


Astro Awani 

Setuju cuti bersalin lebih, bayi dua bulan kurang sesuai ke pusat jagaan

Menghantar bayi kurang dari tiga bulan ke pusat jagaan adalah kurang sesuai kerana bayi seawal itu masih belum stabil, kata Prof. Datin Noor Aziah Mohd Awal, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita, dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).




Namun Prof. Noor Aziah berpendapat sebaiknya si ibu duduk di rumah menjaga anak, tetapi kerana faktor ekonomi sekarang yang menyebabkan kebanyakkan keluarga khususnya keluarga muda memerlukan suami isteri keluar bekerja untuk membantu ekonomi keluarga.

“Komprominya dalam hal ini adalah, sekiranya syarikat dapat menyediakan pusat jagaan di tempat kerja agar ibu dapat menyusukan anak sehingga dua tahun” katanya.

Prof Noor Aziah turut berpendapat pusat jagaan bayi kini harus dikendalikan oleh golongan profesional iaitu pakar kanak-kanak dan mereka yang mempunyai ijazah dalam bidang penjagaan bayi dan kanak-kanak seperti yang dilakukan di luar negara.

Selain itu, menurut Prof Noor Aziah masa dua bulan selepas bersalin merupakan masa yang paling penting untuk ibu dan anak membentuk hubungan yang akrab.

Dalam proses berpantang itu juga, si ibu perlu menyesuaikan diri dengan beberapa perkara baru ditambah pula dengan rehat yang tidak cukup kerana rutin bayi.

“Cuti bersalin merupakan proses memulihsemula badan, ditambah dengan perasaan trauma semasa bersalin dan pada masa yang sama berjaga malam untuk menyusukan anak.

“Maka penting si ibu diberi peluang untuk berehat lebih dari 60 hari untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu” katanya lagi.

Prof Noor Aziah turut berkata naluri keibuan tidak datang semula jadi kepada semua ibu, jadi sangat penting si ibu diberi masa sekurang-kurangnya 90 hari untuk berpantang dan belajar menjadi seorang ibu.

Prof Noor Aziah yang juga merupakan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia YADIM, turut sama berkempen agar cuti bersalin diberikan lebih kepada golongan ibu dan menggalakkan penglibatan syarikat swasta dalam menyokong polisi kerajaan itu.

“Semasa kami membuat kempen cuti bersalin 90 hari, kami mengharapkan agar pihak swasta menyokong dan memberi cuti 90 hari agar dapat si ibu menyusukan anak dengan baik dan mengeratkan hubungan yang baru terjalin” katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Agenda AWANI turut membincangkan mengenai kewajaran jumlah cuti bersalin di negara kita.

Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, Pengerusi Pembangunan Sosial IKRAM berkata cuti bersalin perlu diberikan lebih 60 hari kerana ada kepentingannya sendiri terutama kepada kepada si ibu dan anak.

“Amat wajar cuti bersalin diberikan lebih kepada 60 hari, ini kerana dalam proses sosiologi si ibu mengambil masa 6 minggu untuk kembali kepada mental dan fizikal sama seperti sebelum mengandung.

“Peliknya perspektif ini tidak diberi perhatian tetapi pandangan majikan yang diambil kira” katanya lagi.


Selain itu, menurut survey yang dijalankan Astro AWANI lebih dari 66% menyokong agar cuti bersalin diberikan lebih 90 hari.

Beberapa perbandingan antara cuti bersalin di luar negara juga mendapati negara kita di antara yang memberikan cuti bersalin paling singkat.

Manakala beberapa kaum ibu dan bapa yang kami hubungi turut memberi pandangan mengenai perkara ini.