Friday, 24 January 2014

Penjelasan mengenai GST diperluas

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. --gambar fail


KUANTAN: Kerajaan akan terus memberi penjelasan mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke semua kawasan parlimen selepas penjelasan peringkat negeri selesai.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata penerangan peringkat negeri dijangka selesai selesai hujung bulan ini berikutan penjelasan telah dibuat di 10 negeri termasuk Pahang.

"Selepas penjelasan peringkat negeri selesai, GST akan diterangkan sehingga ke peringkat parlimen-parlimen mulai bulan dua (Februari) ke atas. Sekarang nak habiskan empat lagi penerangan peringkat negeri (Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan).

"Di kampung-kampung kita kumpulkan ahli parlimen, ketua bahagian, pemimpin setempat (untuk diberi penjelasan) dan bukan hanya penerangan mengenai GST malah bantuan kerajaan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis Sesi Taklimat GST Peringkat Pahang yang dihadiri lebih 2,000 orang di sini, Khamis.

Katanya, kerajaan tetap meneruskan penerangan GST walaupun ada usaha dari segelintir pihak yang cuba mensabotaj dengan melakukan demonstrasi untuk menggesa kerajaan menarik balik GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015.

"Kita juga tidak akan berdiam diri dan akan buat penjelasan sebab GST ini merupakan satu sistem percukaian terbaik yang telah diamalkan 160 negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelewatan pengagihan baucar bantuan awal persekolahan, Ahmad berkata, perkara itu mungkin disebabkan proses penjadualan pengagihan di peringkat pejabat pendidikan negeri.

Katanya, agihan bantuan berkenaan telah disalurkan sejak 15 Jan lepas membabitkan RM540 juta untuk 5.4 juta pelajar sekolah di seluruh negara. - BERNAMA 

Apa?! RON95 akan dijual pada yang layak sahaja?


PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memaklumkan bahawa petrol RON95 hanya akan dijual kepada golongan yang layak sahaja.

Katanya untuk memastikan semua subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak sahaja, harga subsidi bagi RON95 dijangka hanya disediakan untuk golongan miskin.

Jelas Tengku Andan, pendekatan itu antara lain sebagai usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan dasar harga baru itu dijangka berkuatkuasa pada Mei atau Jun tahun ini.

"Kami mahu mengenakan kenaikan hanya kepada mereka yang mampu… seseorang mungkin memandu (Toyota) Alphard ataupun Mercedes (Benz) tetapi mereka masih menggunakan petrol RON95," katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, mungkin mereka yang tidak layak untuk membeli petrol RON95 pada harga subsidi, hanya layak untuk membeli petrol RON97.

Pada masa ini harga RON95 adalah RM2.10 seliter (63 sen subsidi) dan harga RON97 adalah RM2.80.

Harga runcit RON97 ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran.

Beliau bagaimanapun memberitahu pendekatan baru itu masih dalam kajian oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar dari Jabatan Perdana Menteri.

Tengku Adnan ditemui selepas majlis penyerahan 100 surat tawaran kepada penduduk yang layak untuk menyewa di projek perumahan kos rendah di Petaling Jaya. - ASTRO Awani