Monday, 20 January 2014

Kematian isteri menteri India cetus spekulasi

Isteri menteri India ditemui mati di hotel
Saat Bahagia.. Sunanda (kiri) ketika bersama suaminya, Shashi. - Foto dipetik daripada BBC


NEW DELHI – INDIA . Media India terus membuat pelbagai spekulasi tentang punca kematian isteri seorang menteri India pada Jumaat, kebanyakannya membayangkan kemungkinan akibat penggunaan dadah dalam dos berlebihan dan bunuh diri.

Sepasukan tiga doktor, yang melakukan badah siasat terhadap mayat Sunanda Pushkar pada Sabtu, mengisytiharkan dalam laporan awal mereka bahawa wanita itu 'mati mengejut dan secara di luar tabii', serta menolak kemungkinan keracunan atau kecederaan sebagai puncanya.

Laporan lengkap mengenainya dijangka siap beberapa hari lagi, lapor The Times of India.

Sunanda, 52, isteri Menteri Pembangunan Sumber Manusia Shashi Tharoor, ditemui mati kira-kira 8.30 malam (waktu India) di sebuah bilik hotel di New Delhi dua hari lepas.

Bedah siasat terhadap mayatnya dibuat di All India Institutes of Medical Sciences (AIIMS).

Hasil bedah siasat membayangkan kematian Sunanda adalah akibat pengambilan dadah dalam dos berlebihan, yang besar kemungkinan turut melibatkan penggunaan beberapa sedatif berbahaya serta ubat lain dan alkohol, lapor akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

Bagaimanapun, tambah akhbar itu, setakat ini, belum diketahui sama ada pengambilan dadah dalam dos berlebihan itu adalah disengajakan atau dengan niat untuk membunuh diri.

Apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah Sunanda amat tertekan dengan perbuatan suaminya menjalin hubungan dengan wartawan Pakistan bernama Mehr Tarar, dan beliau mendesak Tharoor supaya tidak lagi berhubung dengan wanita itu.

Sama ada desakannya itu dipenuhi atau sebaliknya tidak dapat dipastikan kerana Tharoor dan Tarar dikesan masih berhubung melalui Twitter dua hari sebelum kematian Sunanda, lapor akhbar itu.

Laporan Press Trust of India pula membayangkan kemungkinann Sunanda meninggal dunia kerana mengambil dadah dalam dos berlebihan.

Akhbar 'The Hindu', dalam laporan bertajuk 'Mystery behind death deepens', memetik sumber polis yang tidak dikenali sebagai berkata sebelum meninggal dunia, Sunanda mengambil beberapa jenis ubat.

Tanpa menyatakan waktu ubat berkenaan diambil atau jenisnya, satu sumber berkata beberapa pil ditemukan di tempat Sunanda meninggal dunia, lapor akhbar itu.

Akhbar harian DNA juga dalam laporannya membayangkan kematian Sunanda adalah berpunca daripada pengambilan dadah dalam dos berlebihan, kemungkinan ubat untuk mengatasi kemurungan.

Bagaimanapun, kata akhbar itu, punca kematian Sunanda akan hanya diketahui selepas laporan toksikologi dan patologi dikeluarkan makmal terbabit.

Seorang majistret akan mengambil kenyataan daripada Tharoor pada Isnin.

Tharoor, yang meninggalkan Pertubuhan Bangsa Bersatu selepas kalah dalam pemilihan bagi jawatan setiausaha agung badan dunia itu, kembali ke India pada 2008.

Sunanda adalah ahli perniagaan berbangsa Indo-Kanada. Beliau menyandang jawatan pengurus jualan di TECOM Investments, yang berpejabat di Dubai serta pemilik bersama Rendezvous Sports World dari India. Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2010.

Mayat Sunanda dibakar di New Delhi pada Sabtu. - Bernama

'Permaisuri': Suami sayalah 'Sultan Melaka' sebenar


Sekadar gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Tidak sampai seminggu lelaki yang mendakwa dirinya sebagai `Sultan Melaka’ ditahan polis, kini, ada pula seorang wanita yang mengelar dirinya sebagai ‘permaisuri’, mendakwa suaminyalah sepatutnya mewarisi takhta Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut laporan mStar online, ‘permaisuri' dari Seri Kembangan, Selangor, telah melabelkan Raja Noor Jan Shah yang mendakwa dirinya ‘Sultan Melaka’ selama ini, hanya berlagak semata-mata.

Malah, ‘permaisuri’ yang bernama Bonda Ratu Kuasa Alam Tan Sri Sharifah Norlaini Kesemua Dinegeret (Ratu Kepulauan Melayu), warga Indonesia dengan keturunan Turki- Acheh itu, telah menuntut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memberikan ikrar taat setia kepadanya.

Lebih mengejutkan lagi, pembantu peribadi ‘permaisuri’ itu, Hidhir Yusof, berkata majikannya mempunyai kuasa luar biasa dan memberi amaran bahawa dia boleh membuat sumpahan ke atas Melaka jika marah.

"Dia boleh memanggil ribut angin dan hujan yang tidak berhenti-henti jika tidak dapat menahan kesabarannya.

"Oleh itu, lebih baik ketua menteri bertemu dengannya dan mendengar rahsia Kesultanan Melaka yang tidak sabar-sabar untuk didedahkan kepada beliau," kata Hidhir kepada mStar online.

Ia dilaporkan bahawa, ‘permaisuri’ itu cuba bertemu dengan Idris tetapi percubaan itu kurang berjaya.

Pada 14 Januari lepas, Raja Noor Jan Shah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menganjurkan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Penahan itu dibuat dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, selepas pihak polis Melaka menerima lapan laporan dibuat individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Astro Awani