Sunday, 19 January 2014

Bot karam di Sarawak: Tiga disahkan lemas, lapan masih hilang

MUKAH: Tiga orang mati lemas selepas bot panjang rombongan perkahwinan terbalik ketika dalam perjalanan dari Kampung Saei ke Kampang Tekajong, Pulau Bruit, Matu di Mukah. 

Menurut maklumat yang diterima pada jam 8 malam, nama-nama mangsa adalah Melati Jerai (51 tahun), Sekiah Kifli (49 tahun) dan Merah Murni (55 tahun).

Lapan orang masih belum dijumpai manakala 16 orang dapat diselamatkan. 

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Matu/Daro DSP Wagner Lisa Libut berkata ketiga-tiga mangsa merupakan wanita berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun.

"Semua penumpang bot berasal dari Kampung Tekajong, Pulau Bruit dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saei. Menurut maklumat awal keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik, namun bot panjang terbalik dipukul ombak besar," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dan Sibu dan turut melibatkan pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Malaysia.

Astro Awani 

Nasi lemak pembalut luka

Nasi lemak sambal plaster
Plaster penutup luka ini ditemui dalam nasi lemak dimakan oleh pengadu.

Nasi lemak sambal plaster
Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (dua, kanan) turut hadir pada sidang media diadakan di Pejabat Adun Rahang, semalam.


SEREMBAN - Seorang wanita terkejut bukan kepalang apabila menjumpai cebisan pembalut penutup luka dalam nasi lemak yang dihidangkan kepadanya oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan, baru-baru ini.

Pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Tay, 33, berkata, kejadian itu berlaku pada 6 Januari lalu sekitar jam 10 pagi, ketika sedang mengikuti penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan atas urusan kerja.

“Semasa dihidangkan, saya tidak nampak sebarang keganjilan pada nasi lemak tersebut. Bagaimanapun, selepas menghabiskan hampir 80 peratus nasi lemak berkenaan, barulah saya perasan ada sesuatu yang tidak kena.

“Pada awalnya, saya sangkakan objek ditemui hanyalah cebisan sotong dalam sambal nasi lemak. Namun, saya mula berasa loya dan jijik apabila mendapati benda asing itu merupakan pembalut luka terpakai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, tidak berpuas hati dengan kejadian itu, dia segera memanggil ketua krew kabin bertugas untuk melihat sendiri objek dijumpai dalam makanan yang mereka sediakan.

“Malangnya, respons diterima agak mengecewakan. Dia kelihatan acuh tidak acuh apabila diberitahu penemuan plaster luka berkenaan dan sekadar meminta saya mengemukakan aduan bertulis untuk tindakan susulan.

“Sehingga kini, saya masih menunggu jawapan daripada mereka (syarikat penerbangan) yang terus berdiam diri dalam hal ini,” katanya.

Menurutnya, kesal dengan syarikat penerbangan tersebut yang seolah-olah bersikap lepas tangan terhadap masalah dihadapi menyebabkan dia membuat aduan kepada media.

“Bukan wang ringgit atau pampasan yang saya mahukan, cukuplah sekadar permohonan maaf daripada mereka. Saya harap, tindakan sewajarnya juga dapat diambil agar kejadian sama tidak berulang.

“Mujurlah saya tidak mengalami masalah kesihatan serius kecuali sedikit alahan pada kulit selepas makan hidangan itu. Sedikit sebanyak, saya berasa trauma dan serik untuk untuk menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Adun Rahang, Mary Josephine yang ditemui di pejabatnya, dekat sini berkata, pihaknya bersedia membantu pengadu dalam segala aspek.

“Kecuaian dilakukan tidak boleh diterima. Nama baik negara pasti akan tercemar jika pelancong asing yang berdepan situasi sebegini.

“Kita minta pihak berkaitan beri perhatian serius dalam perkara ini dan kita berikan tempoh seminggu untuk beri maklum balas,” katanya. - Sinar Harian