Thursday, 16 January 2014

Tumbuk Kamalanathan: Umno beri surat tunjuk sebab

Tengku Adnan

KUALA LUMPUR - Umno akan memberikan surat tunjuk sebab kepada seorang anggotanya yang didakwa telah menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan baru-baru ini, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, surat itu perlu dijawab individu terbabit, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Hulu Selangor, Muhammad Rizuan Suhaimi sebelum tindakan lanjut diambil.

"Umno memandang serius terhadap tindakan tersebut dan kepimpinan tertinggi parti berasa kesal dengan insiden itu dan menganggapnya sebagai tidak sewajarnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Adnan berkata, Umno menolak tindakan kekerasan dalam apa-apa penyelesaian masalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak terbabit terhadap Kamalanathan yang juga Anggota Parlimen Hulu Selangor.

Katanya, dalam apa-apa hal pun, pendirian Umno tetap teguh kepada penyelesaian masalah secara bermesyuarat dan perbincangan tanpa ada pertelingkahan atau bentuk kekasaran yang tentunya hanya akan mengundang keadaan lebih buruk.

Pada kejadian Ahad lepas, Kamalanathan dilaporkan ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat wakil rakyat itu selepas satu program dianjurkan di kawasan berkenaan. -- BERNAMA 

Kemalangan van sekolah di Pakistan ragut 19 nyawa



KARACHI: Sekurang-kurangnya 19 orang termasuk 17 kanak-kanak terbunuh di Pakistan pada Rabu apabila van sekolah yang dinaiki mereka merempuh sebuah trak muatan berat.

Kemalangan tersebut berlaku berhampiran bandar Nawabshah kira-kira 270 kilometer ke utara Karachi wilayah selatan Sindh.

Kanak-kanak yang terbunuh yang juga merupakan pelajar Bright Future School yang terletak berhampiran bandar Daulatpur yang dipercayai menyertai rombongan sekolah ke Nawabshah.

Van mereka dalam perjalanan pulang ke Daulatpur ketika kemalangan itu berlaku.

"19 mayat telah dikenalpasti dan 17 daripadanya adalah kanak-kanak” kata Ketua Hospital Awam Nawabshah Doktor Hashim Langa.

" Kanak-kanak yang terlibat adalah dalam lingkungan umur lima hingga 16 tahun” katanya kepada AFP.

Menurut Hashim lagi, 15 hingga 20 orang yang cedera masih dirawat di hospital. Polis berkata punca kemalangan mungkin disebabkan pemandu memandu dalam keadaan bahaya.

"Kami sedang menyiasat punca kemalangan, namun perkara ini mungkin berpunca dari kecuaian salah seorang pemandu” kata Pegawai Kanan Polis Asif Ali Pechuho kepada AFP.

Pemandu van sekolah adalah antara mangsa yang meninggal dunia.

Pakistan merupakan negara yang mempunyai rekod kemalangan maut paling buruk di dunia. 

- Agensi