Thursday, 16 January 2014

Lima pekerja Bangladesh nyaris maut kebakaran di Menara Tradewinds

Tradewinds


KUALA LUMPUR: Pihak bomba mengesahkan berlakunya kebakaran di Menara Tradewinds, Jalan Raja Laut seperti yang dilaporkan orang ramai di media sosial sejurus ianya berlaku petang tadi.

Menurut bomba lagi, lima daripada mangsa yang terperangkap di tingkat 27 bangunan tersebut berjaya menyelamatkan diri, manakala lima lagi diselamatkan bomba dari tingkat 31.


Tradewinds

“Pihak bomba menerima laporan pada pukul 4:46 petang dan jentera bomba pertama tiba adalah dari Balai Bomba Titiwangsa” kata Penguasa Bomba Farid Norizam Jafri ketika dihubungi Astro AWANI .

Sementara itu, ketika dihubungi Ketua Operasi Pegawai Kanan Bomba Cawangan Titiwangsa Imam Bukhari Susami memaklumkan sehingga pukul 10:30 malam tadi kebakaran masih tidak dapat dipadamkan sepenuhnya malah merebak ke tingkat lebih tinggi.

“Kebakaran telah merebak sehingga tingkat 30 dan pihak bomba juga mengalami masalah bekalan air yang menyebabkan proses pemadaman api mengambil masa lebih lama” katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, menurut laporan Bernama, lima mangsa yang terlibat adalah pekerja Bangladesh.

Kelima mereka nyaris maut terhidu asap tebal kerana terperangkap hampir dua jam di dalam kebakaran tersebut.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail kesemua mangsa dalam keadaan lemah namun stabil kerana agak lama terhidu asap tebal.

"Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 20-an, terperangkap di tingkat 30 kerana berlaku kebakaran di tingkat 27 hingga 29 bangunan berkenaan. Mangsa dalam keadaan stabil namun masih lemah kerana agak lama terhidu asap tebal," katanya kepada Bernama.

Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat pemotongan saluran pendingin hawa di tingkat 27, bangunan 36 tingkat itu.

Bangunan yang terletak berhampiran Menara Tun Razak itu juga sedang mengalami proses pengubahsuaian.






Source: ASTRO Awani  

Tertawan keikhlasan menantu

Tertawan keikhlasan menantu
Pasangan pengantin diarak menaiki tandu sebelum majlis persandingan mereka yang berlangsung di Rumah Rakyat Dangi, semalam.


KUALA PILAH– "Keikhlasannya yang datang bertemu saya untuk memohon restu hubungannya dengan anak saya membuatkan saya bersetuju untuk merestui hubungan mereka," luah ketua keluarga campur, Sin Yeow Kong, 52.

Anak Yeow Kong, Norhafizatun Nisa Sin Abdullah, 21, memeluk Islam lapan bulan lalu bertemu jodoh dengan pasangannya, Mohd Hafizie Ramli, 25, dan selamat diijabkabulkan pada 13 Januari lalu di Pejabat Agama Islam Kuala Pilah.

Majlis persandingan mereka pula berlangsung di Rumah Rakyat Dangi, semalam.

Yeow Kong berkata, dia menerima dengan hati terbuka apabila anaknya bertemu jodoh dengan orang Islam.

“Saya tidak menghalang mereka untuk meneruskan perkahwinan. Lagipun, saya pun berkahwin dengan isteri, S Kanama, 47, berketurunan India dari Masai, Johor manakala anak nombor tiga berkahwin dengan orang Thailand.

“Jadi, hubungan ahli keluarga kami sangat unik kerana terdapat pelbagai bangsa dan agama,” katanya yang mempunyai lapan anak.

Malah katanya, walaupun anaknya sudah berkahwin, hubungan mereka tidak akan terputus kerana menantunya bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Dangi.

"Mereka sentiasa ada di sini, jadi hubungan antara bapa dan anak tidak akan terputus walaupun sudah berlainan agama,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada pengantin lelaki, Ramli Mohd Nor, 50, melahirkan rasa syukur di atas kemeriahan perkahwinan anaknya.

“Saya tinggal di Sintok, Kedah dan sudah berada di Dangi pada 12 Januari lalu.

“Saya tiada halangan dan sebagai umat Islam kita bersyukur kerana berjaya menarik seorang lagi insan untuk menjadi umat Rasulullah SAW. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan insya-Allah, kenduri pihak lelaki akan
berlangsung pada 8 Februari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafizie turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Balai Polis Dangi, Sarjan Mejar Nurhayazi Abdul Rahman dan Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga Dangi yang bertungkus-lumus membantu
menjayakan majlis perkahwinannya.

Katanya, pertemuan dengan isterinya diistilahkan sebagai cinta pandang pertama.

“Pada mulanya, saya bertemu dengan isteri di Rumah Rakyat Dangi yang berada bersebelahan dengan Balai Polis Dangi. Saya sangka, isteri orang Melayu kerana wajahnya iras Melayu, namun selepas diselidik, rupanya dia berketurunan India Cina.

“Bagaimanapun, selepas mengetahui salasilah keluarganya, saya nekad menyuntingnya sebagai isteri,” katanya.

Sebelum majlis persandingan yang bermula pada 1 tengah hari, pasangan pengantin itu terlebih dahulu diarak menaiki tandu dan melihat pertunjukan silat.

Sinar Harian