Monday, 6 January 2014

Wanita ditemui mati dikelar di dalam tab mandi


KUALA LUMPUR - Seorang pekerja wanita sebuah pusat kecantikan di Jalan Jelawat 1, Cheras di sini, ditemui mati terlentang di dalam tab mandi premis itu, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat mangsa yang merupakan warga India berumur 28 tahun ditemui kira-kira 9.30 malam oleh majikan dan seorang lelaki yang dipercayai suami mangsa, selepas terhidu bau busuk ketika membuka pintu premis berkenaan.

"Mayat mangsa ditemui di dalam tab yang tidak berisi air dan dipercayai telah mati empat hari lepas berdasarkan bau busuk dan fizikal badan mangsa yang kebiru-biruan. 

"Hasil pemeriksaan polis mendapati mangsa telah dikelar di leher dan ditikam di dada menggunakan senjata tajam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian kira-kira pukul 2 pagi. 

Mohan berkata mangsa dipercayai bekerja di premis itu selama enam bulan manakala suaminya hanya menumpang di premis berkenaan tetapi menetap di tempat lain. 

Katanya pemilik pusat kecantikan telah ke premis itu bagi menemani suami mangsa untuk mengambil pakaiannya di dalam bilik yang diduduki pasangan itu selepas gagal menghubungi isterinya. 

Susulan itu polis menahan suami mangsa berusia 27 tahun, yang juga warga India, selepas dia didapati memberi jawapan meragukan ketika disoal siasat. 

"Lelaki itu menimbulkan banyak persoalan berhubung kes itu dan tidak dapat memberikan jawapan yang tepat. Setakat ini, polis hanya menahan seorang suspek sahaja yang akan direman bagi membantu siasatan," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat. 


- BERNAMA 

Evangeline, anak tempatan menjadi penyunting Wikipedia


KUALA LUMPUR: Kebanyakan daripada kita hanya akan melawat laman sesawang Wikipedia untuk mengetahui tentang sesuatu yang kita tidak tahu atau belajar sesuatu perkara yang baru.

Namun, bagi Evangeline Han, seorang anak tempatan yang kini pelajar universiti, beliau melawat laman sesawang itu untuk memperbetulkan tatabahasa dan fakta sesuatu artikel yang diterbitkan dalam Wikipedia.

Ini adalah kerana Evangeline merupakan penyunting untuk Wikipedia dan telah menyumbangkan khidmatnya kepada portal itu sejak dia berusia 15 tahun lagi.

Evangeline yang diwawancara di dalam portal blog Wikimedia berkata adalah penting untuk orang muda sepertinya menyunting Wikipedia.

Walaupun begitu, Evangeline sendiri menghadapi cabaran untuk berbuat demikian apabila terpaksa mendapatkan kebenaran daripada ibu-bapanya, iaitu salah satu syarat untuk menjadi Wikipedian.

Evangeline yang bersekolah di rumah berkata, ibu-bapanya tidak menghalang penglibatannya di Wikipedia selagi kerja sekolahnya disiapkan dan tidak menyunting sewaktu mengulangkaji pelajaran.

Minat Evangeline terhadap Wikipedia bermula kerana minatnya yang mendalam dalam membaca dan menulis.

Beliau juga mempunyai sebuah blog buku yang tercetus hasil daripada minat membacanya.

Apabila tiada kerja rumah yang banyak, Evangeline akan selesai membaca satu buku setiap hari.

"Ibu bapa saya menggalakkan saya untuk membaca buku-buku klasik, terutama buku-buku yang memenangi anugerah dan saya mempunyai kurikulum berasaskan buku-buku. Itulah sebabnya saya membesar dengan minat mendalam terhadap membaca,” katanya.

Evangeline menjadi begitu mahir dalam menyunting artikel dalam Wikipedia sehingga beliau dilantik menjadi Duta Wikipedia di bawah Program Pendidikan Wikipedia oleh Yayasan Wikimedia.

Digelar Duta Wikipedia, beliau menjadi mentor sukarelawan untuk menasihati pelajar universiti yang mahu menyunting Wikipedia.

"Saya akan memeriksa semua artikel dan pastikan sumber yang digunakan adalah sahih, memberi nasihat jika mereka memerlukan bantuan dan juga mengkaji semula artikel mereka,” katanya.

Evangeline yang sedang menuntut di Universiti Baptist Oklahoma, sudah menyiapkan hampir 10,000 suntingan setakat ini.

Astro Awani