Thursday, 2 January 2014

Vincent Tan cetus kontroversi

Vincent Tan
Vincent Tan


PEMILIK Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila bercadang untuk membeli pemain yang memiliki angka lapan pada tarikh lahir mereka.

Menurut laporan media di United Kingdom (UK), ahli perniagaan dari Malaysia itu mahu cadangan berkenaan direalisasikan pada bursa jual-beli pemain yang dibuka semula bermula hari ini.

Laporan itu menyebut, angka lapan merupakan nombor bertuah bagi masyarakat Cina di Malaysia.

Sebelum ini, Tan menimbulkan kemarahan penyokong Cardiff apabila menukar warna tradisi kelab itu, biru kepada merah serta memperkenalkan logo baharu iaitu naga bagi menggantikan maskot burung. 

Terbaru, penyokong The Blue Birds mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan Tan memecat pengurus Malky Mackay.

Ahad lalu, Tan dilihat mengejek pasukannya ketika Cardiff sekadar merakam keputusan seri 2-2 ketika menentang Sunderland.


Sinar Harian 

HKL sambut 15 bayi tahun baharu

HKL sambut 15 bayi tahun baharu

Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambut kelahiran 15 bayi tahun baharu setakat pukul 4 petang ini dengan lapan bayi lelaki dan tujuh perempuan.

Bayi pertamanya lahir pada 1.22 pagi.

Bayi perempuan seberat 3.14 kilogram itu merupakan anak sulung kepada Azleeza Zulkifli, 24 dan suami Darussalam Irma, 26.

"Kelahiran Damia Afiza ini adalah hadiah paling berharga bagi saya kerana semalam merupakan hari jadi saya," kata Azleeza.

Bagi pasangan Noor Akma Syakila Mohd Jamil, 23, dan suami Muhd Azlee Ismail, 24, ini kali kedua mereka menyambut bayi tahun baharu.

Anak ketiga mereka Muhd Ammar Darwisy lahir pada 9.55 pagi tadi.

Pada 1 Jan dua tahun lepas kami menyambut anak kedua. Kami tidak merancang kelahiran anak-anak dan kami menyambut kedatangan anak ketiga ini dengan penuh kesyukuran, kata Noor Akma.

Sementara itu tinjauan Bernama menunjukkan setakat 4 petang ini 12 bayi lahir di Hospital Sungai Buloh (HSB), 16 di Hospital Ampang, tujuh di Hospital Putrajaya dan dua masing-masing di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan Hospital Ampang Puteri.

HSB menyambut bayi pertamanya pada 12.08 pagi, iaitu bayi lelaki kepada pasangan warga Brunei.

Bernama