Thursday, 19 December 2013

Sukan SEA: Malaysia bolot emas acara 3m papan anjal


NAYPYITAW:  Penerjun wanita negara mengekalkan penguasaan dalam acara terjun pada Sukan SEA ke-27 apabila membolot dua tempat teratas dalam acara 3m papan anjal pada hari pertama acara itu di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini hari ini.

Penerjun veteran Cheong Jun Hoong berjaya mempertahankan pingat emas dengan catatan 327.15 mata manakala rakan sepasukan Ng Yan Yee merangkul perak dengan 323.10 mata.

Pingat gangsa menjadi milik penerjun Indonesia, Indah Eka Purna dengan 240.35 mata.

Jun Hoong yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat, tidak menyangka dapat menewaskan Yan Yee pada terjunan terakhir bagi meraih emas memandangkan mereka bersaing sengit pada empat terjunan awal.

"Agak terkejut kerana dapat meraih pingat emas...Saya tidak sangka bahawa terjunan terakhir membolehkan saya memintas Yan Yee.

"Kualiti terjunan antara saya dengan Yan Yee adalah sama cuma mungkin nasib lebih menyebelahi saya pada kali ini," katanya.

Jun Hoong berkata kemenangan berkenaan menjadi motivasi terbaik kepada beliau untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi beberapa kejohanan utama tahun depan.

"Kejayaan ini adalah satu pengalaman berharga bagi saya dan saya berharap dapat mengekalkan kecemerlangan ini untuk acara seterusnya," katanya yang melakukan penampilan kelima dalam temasya dwitahunan ini.

Jun Hoong sebelum ini pernah meraih emas bersama Pandelela Rinong menerusi acara 10m platform seirama pada edisi 2007 di Thailand.

Berbeza pula dengan Yan Yee yang melahirkan rasa terkilan kerana gagal meraih pingat emas selepas mendahului Jun Hoong pada empat terjunan awal.

"Saya sepatutnya mendapat pingat emas tetapi saya tidak tahu mengapa saya memperolehi markah rendah untuk terjunan terakhir.

"Kedua-dua kami sudah mempamerkan peningkatan dan saya berharap dapat menebus kekecewaan ini dalam acara lain selepas ini," kata Yan Yee.

BERNAMA 

Nooraida: Saya tak sengaja pakai seksi

Nooraida: Saya tak sengaja pakai seksi

NAMA isteri kepada seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan pelakon Adi Putra terus menjadi bualan hangat di laman sosial ekoran kemunculannya pada sidang akhbar minggu lalu dengan berpakaian seksi.

Nooraida Abdul Talib kemudiannya tampil menjelaskan, dia berpakaian sebegitu tanpa disengajakan.

"Saya bukan sengaja. Jaket yang saya patut pakai tercabut butang dan sudah lambat hendak ke sidang media. Sepatutnya saya tak turut serta dalam sidang media tapi berlaku saat akhir. Terima kasih ambil berat," tulisnya di laman mikro Twitter.

Amiruddin Othman iaitu suami kepada Nooraida Jumaat lalu mendakwa pihak polis tidak telus dalam menyiasat kes berkenaan.

Sehubungan itu Amiruddin telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman agar satu tindakan terhadap pegawai penyiasat kes berkenaan iaitu Inspektor Fergie anak Din di sebuah balai polis di Johor dapat diambil.

“Saya mendapati siasatan terhadap kes melibatkan Adi Putra ini tidak telus dan berat sebelah apabila pegawai penyiasat kes berkenaan mohon agar laporan polis kes berkenaan ditarik balik,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Concorde di sini petang Jumaat.

Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 32, pada malam Khamis telah membuat satu sidang media menyatakan kes berkenaan telah digugurkan oleh pihak polis dan tiada tindakan lanjut atau ‘no further action (NFA)’.

Sehubungan itu Adi mendakwa dengan gugurnya kes berkenaan, ia membuktikan dia tidak bersalah.

Sinar Harian