Thursday, 19 December 2013

Puting beliung landa Johor?

Puting beliung landa Johor?

Satu fenomena seolah-olah puting beliung dilaporkan dilihat di sekitar Johor dan Singapura hari ini.

Berita tersebut tersebar dengan meluasnya di laman media sosial sejak petang tadi.

Ramai yang melihat kejadian  itu sempat merakamkannya dan berkongsi gambar-gambar itu sejurus ia terjadi.





Peristiwa itu juga sempat dirakamkan oleh seorang warga Johor, Azman Badaruddin yang berkongsi pengalaman.

Walaubagaimanapun, Pusat Cuaca Nasional menafikan bahawa peristiwa tersebut adalah puting beliung.

Sebaliknya,  Ketua Penolong Pengarah jabatan itu, Amirzudi Hashim berkata ia adalah fenomena ‘belalai air’.

“Fenomena ini amat biasa berlaku di Malaysia. Ia biasanya berlaku di kawasan perairan disebabkan kumules awan yang besar,” katanya kepada Astro AWANI.

Amirzudi berkata selalunya, ‘belalai air’ itu tidak akan sampai ke darat.

“Ia memerlukan kelembapan yang tinggi. Oleh sebab itu, ia biasanya akan bermula dan mati di kawasan perairan,” katanya.

Namun demikian, Amirzudi berkata belalai air boleh mencederakan orang ramai jika didekati.

“Saya nasihatkan para nelayan dan sesiapa yang berada di sekitar kawasan tersebut untuk jangan cuba menghampiri belalai air,” katanya.

Astro Awani 

6 warga asing rentung, kereta Nissan Skyline terbakar



KUALA LUMPUR: Enam warga asing maut serta merta selepas kereta dinaiki terbakar dalam satu kemalangan berhampiran Bulatan Kampung Pandan awal pagi tadi.

Komandan Operasi Kanan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Hamid Daud berkata, mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita itu meninggal dunia serta merta akibat rentung sepenuhnya.

“Bomba menerima panggilan pada pukul 12.42 pagi sebelum 13 anggota dari Balai Bomba Pudu dan Jalan Hang Tuah dikerah ke tempat kejadian” katanya.

Menurut Hamid lagi, pihak Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa memandangkan kedudukan mereka yang tersepit dan rentung di dalam kereta jenis Nissan Skyline itu.

Menurut jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur, mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki warga Britain, tiga wanita warga Filipina dan dua wanita Myanmar gagal menyelamatkan diri selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan terbakar.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Simon John Hall, 40, pengurus syarikat Leighton Offshore, di sini; dan warga negara Filipina ialah itu Siso Aileen, 30; Maileen Tentative Montejo, 26; dan Mary Grace Macaraig, 24.
Dua warga Myanmar itu yang memiliki pas United Nation High Commissioner for Refugees (UNHCR) dikenali sebagai Pi Pi, 20; dan Ester Sui, 26.

Kereta sport Nissan Skyline sememangnya diketahui mempunyai kelajuan tinggi dan sering digunakan oleh pelumba jalanan di Jepun.

Kereta tersebut turut digunakan dalam beberapa filem lasak melibatkan lumba kereta seperti Fast & Furious dan di dalam permainan video.

Astro Awani