Tuesday, 17 December 2013

Polis dan Bomba gagalkan cubaan bunuh diri lelaki beristeri dua

Polis dan Bomba gagalkan cubaan bunuh diri lelaki beristeri dua

KUCHING: Seorang lelaki beristeri dua yang dipercayai menghadapi krisis rumah tangga cuba terjun dari Aras 3 Menara Dewan Suarah Kuching di sini pada Isnin, namun percubaannya itu digagalkan sepasukan anggota polis serta Bomba dan Penyelamat.

Pada mulanya lelaki berusia 32 tahun berasal dari Kampung Siol Kandis, dekat sini cuba dihalang oleh pengawal keselamatan daripada meneruskan niat, namun dia bertindak mengacu pisau terhadap pengawal keselamatan itu.

Ketua Polis Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian sambil dibantu sepasukan anggota bomba dan penyelamat.

"Lelaki itu dipujuk supaya membatalkan niatnya tetapi tidak memberi sebarang respons. Selepas hampir sejam dipujuk anggota bomba mengambil peluang ketika dia terleka dengan memegang kolar baju manakala anggota lain merampas pisau sebelum berjaya menarik lelaki itu masuk semula ke dalam kawasan berpagar Aras 3 menara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya siasatan awal mendapati lelaki itu, pekerja swasta dalam bidang IT yang mempunyai dua isteri serta dua anak, mengalami krisis rumahtangga dan sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah.

"Keluarga kedua-dua isteri sudah dihubungi. Laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan undang-undang," kata Roslan.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri Tan Min Chai berkata sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang tiba di tempat kejadian dengan sebuah jentera selepas mendapat laporan tentang kejadian itu.

"Kecekapan pasukan bomba dan penyelamat dengan kerjasama polis menggagalkan niat lelaki itu untuk terjun bangunan," katanya.

BERNAMA 

Pengawal keselamatan larikan RM250,000 di Subang Jaya


KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan melarikan wang tunai berjumlah RM250,000 dari van yang dipandunya semasa dua lagi rakannya sedang memindahkan sejumlah wang ke Maybank di Wisma Consplant, Subang Jaya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kejadian berlaku kira-kira 9 pagi ketika suspek yang dikenali sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, 30, yang sedang menunggu rakan-rakannya melakukan tugas mereka, tiba-tiba melarikan van yang berisi wang tersebut.

"Mereka ditugaskan untuk mengambil wang hasil jualan hujung minggu di beberapa premis perniagaan di sekitar Shah Alam dan di dua buah stesen minyak di Kesas (Lebuhraya Shah Alam) bagi tujuan mendeposit wang tersebut ke dalam bank.

"Wang berkenaan merupakan milik dua buah stesen minyak dan sebuah restoran makanan segera yang ditinggalkan dalam van itu sebelum dideposit ke dalam Maybank di dalam bangunan wisma tersebut," katanya kepada Bernama.

Yahaya berkata dua rakan pengawal tersebut yang kembali setelah menghantar wang ke bank itu mendapati suspek bersama van itu tidak lagi kelihatan di situ.

Mereka kemudiannya menghubungi rakan mereka dengan alat walkie-talkie tetapi gagal, lalu kedua-duanya membuat laporan polis.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan suspek tidak mempunyai senjata dan baru sahaja berkhidmat di syarikat keselamatan itu pada 1 Okt lepas.

Syarikat tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2005 menawarkan khidmat penghantaran wang kutipan jualan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pelanggan, katanya.

Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bernama