Friday, 13 December 2013

1 juta pengguna terjejas, gangguan bekalan air mulai 17 Dis

Sejuta pengguna terjejas, gangguan bekalan air mulai 17 Dis


KUALA LUMPUR:  Dianggarkan sebanyak satu juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air bermula 17 sehingga 22 Disember.

Notis ini dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) selaku pengendali Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dilaporkan terpaksa menghentikan sementara operasi loji itu bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama di loji tersebut.

Menurut Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred kerja-kerja yang dimaksudkan ialah menaiktaraf papan suis bagi 33kV dan 6.6kV Alatubah ('Transformer') No.1 di Muka Sauk ('Intake'), pembaikan paip keluli ('mild steel') bersaiz 1400mm untuk paip 'Flow Splitter Stream C' dan penggantian ‘Sluice Valve’ bersaiz 950mm di Rumah Pam Air Bersih (TWPH) iaitu pengepaman air bersih ke Kolam Imbangan Matang Pagar.

“Kerja naktaraf ini bagi meningkatkan keupayaan tunggu sedia dan memastikan Pam Air Mentah di Muka Sauk dapat beroperasi dengan lancer” jelasnya.

Menurut Priscilla, kerja-kerja hentitugas akan bermula pada jam 8.00 pagi sehingga 9.00 malam pada 17 Disember  dan tempoh pemulihan dijangka bermula pada jam 9.00 malam hari yang sama berterusan sehingga 8.00 pagi, 22 Disember .

Antara kawasan yang terjejas termasuk kawasan-kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, INTAN, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Suria KLCC dan kawasan lain-lain.

Syabas menasihati pengguna agar menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannnya dengan berhemah sepanjang tempoh henti tugas LRA SSP2.

Orang ramai yang mahukan keterangan lanjut mengenai kawasan yang terjejas boleh melayari portal Syabas atau hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252.

ASTRO Awani 

"Saya bukan Robin Hood" - Ahmad Said

Ahmad Said membuka lori roti Gardenia untuk diagihkan kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam banjir. --gambar fail


KUALA TERENGGANU: "Saya bukan Robin Hood."

Demikian tegas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ketika merujuk gelaran diberi masyarakat kepada beliau, berikutan tindakannya menahan dua lori membawa roti dan mengagih roti itu kepada pengguna jalan raya yang terperangkap akibat banjir di Chendor, Pahang baru-baru ini.

Beliau berkata perbuatan 'Robin Hood' merompak untuk membantu orang miskin tetap salah walaupun niatnya murni.

"Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar, jadi tak perlulah umpamakan saya seperti Robin Hood," katanya semasa menggulung perbahasan belanjawan negeri, di persidangan Dewan Undangan Negeri, di Kuala Terengganu, Khamis.

Tindakan Ahmad pada 4 Dis lalu mendapat pujian orang ramai dan berita serta gambar beliau mengagih roti terbabit tersebar luas menerusi media sosial sehingga ada yang menggelarkannya Robin Hood.

Menurut laman ensiklopedia Wikipedia, Robin Hood merupakan penjenayah yang diangkat sebagai hero dalam cerita rakyat masyarakat Inggeris kerana dia menyamun dan merompak golongan kaya untuk membantu orang miskin yang tertindas.

Sementara itu, Ahmad ketika mengulas kejadian pada hari berkenaan, berkata pengguna jalan raya yang terkandas mengadu kepadanya mereka tiada bekalan makanan.

"Bayangkanlah, ramai yang datang kepada saya dan beritahu anak mereka menangis kelaparan akibat terkandas setelah laluan Kemaman-Kuantan ditutup akibat dinaiki air.

"Pada mulanya, pemandu itu enggan membuka lori tapi bila saya menghubungi pengurusnya dan sedia membayar harga kesemua roti itu, barulah pemandu berani membukanya dengan disaksikan orang ramai," katanya.


BERNAMA