Monday, 2 December 2013

Terdedah bahan pornografi antara punca kes rogol kanak-kanak

Terdedah bahan pornografi antara punca kes rogol kanak-kanak

KUALA LUMPUR:  Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting untuk memantau aktiviti-aktiviti anak mereka terutama sekali ketika melayari internet.

Ini kerana pendedahan kepada kandungan pornografi di internet amat mudah dan boleh menyumbang kepada kes rogol di kalangan kanak-kanak dan remaja yang mungkin ingin meniru apa yang dilihat.

“Apabila mereka sudah masuk dalam dunia akil baligh, naluri untuk melakukan seks itu telah ada, ditambah lagi apabila mereka telah didedahkan dengan banyak elemen-elemen berunsur seks (di internet). Apabila terdapat semua perkara ini, peluang itu telah ada,” kata pakar psikologi kanak-kanak Prof Madya Dr Mariani Md Noor dalam Buletin Awani 745 pada Ahad.

Jawatankuasa Pembangunan Kanak-Kanak Wanita IKRAM Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh berkata golongan ini belum pandai menilai kandungan yang dipaparkan di internet.

Beliau berkata ibu-bapa juga perlu pantau aktiviti anak-anak mereka.

“Apa yang berlaku sekarang ini, para ibu sendiri pun tidak tahu kekunci telefon bimbit anak mereka. Itu menunjukkan kawalan daripada ibu bapa amat longgar.”


Selain itu, Dr Mariani berkata perlu ada pendidikan seks pada usia awal walaupun ada segelintir masyarakat yang menganggap ia sebagai satu pantang larang atau taboo.

“Pendidikan seks bukan bermakna hendak mengajar cara untuk melakukan hubungan seks. Pendidikan seks di peringkat tadika lebih kepada untuk mengenal pasti bahagian sulit lelaki, bahagian sulit perempuan dan sebagainya.



ASTRO Awani

4 terbunuh dalam kemalangan keretapi di New York



NEW YORK: Sekurang-kurangnya empat maut manakala 67 yang lain cedera apabila sebuah keretapi tergelincir dari landasannya dan menjunam ke dalam sungai di New York, Amerika Syarikat.

Operasi menyelamat digerakkan serta merta dengan lebih 130 ahli bomba telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Para penyelam pula dikerahkan untuk menjalankan operasi mencari di dalam sungai bagi menyelamatkan mereka yang bermungkinan tercampak ke dalamnya.

Punca kemalangan itu masih disiasat.

Namun demikian, salah seorang penumpang yang terselamat memberitahu sebelum kemalangan keretapi itu bergerak lebih laju dari biasa.

Pemandu keretapi itu yang terselamat kini sedang dirawat di hospital. Dia dijangka akan turut disiasat oleh pasukan penyiasat.

Ekoran kemalangan, perkhidmatan keretapi ditangguhkan buat seketika.

AFP