Saturday, 16 November 2013

Treler muatan kimia terbalik

Treler muatan kimia terbalik
Farid menunjukkan treler yang dipandunya terbalik dan masuk ke dalam parit di kilometer 231.8 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi semalam.


REMBAU – Sebuah treler yang membawa muatan 20 tan bahan kimia terbalik selepas tayar hadapan sebelah kirinya pecah di kilometer 231.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, pemandu treler berkenaan, Mohammad Farid Mazlan, 40, berjaya keluar menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan serta jarinya.

Menurut Farid yang berasal dari Tangkak, Johor, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Singapura ke Klang bagi menghantar 80 tong bahan kimia yang sepatutnya dijangka sampai sekitar jam 7.30 pagi.

“Semasa kejadian saya memandu seperti biasa di laluan perlahan dengan kelajuan sekitar 60 kilometer sejam. Bagaimanapun, secara tiba-tiba tayar sebelah hadapan kiri pecah dan treler yang dipandu terus mengarah ke kiri jalan.

“Saya tidak menjerit dan cemas, namun hati saya tidak henti-henti berselawat serta berharap agar tiada perkara buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memantau bahan kimia berkenaan.

Farid yang dikenali sebagai 'Ali Baba' dalam kalangan rakan-rakannya berkata, dia mula bertolak dari Singapura sejak 8 malam kelmarin dan kebiasaannya sekurang-kurangnya dua ke tiga kali dia bertugas menghantar muatan berkenaan.

“Sudah lapan tahun saya bekerja memandu treler dan ini merupakan pengalaman pertama saya terbabit dalam kemalangan seperti ini. Mujur tiada perkara buruk berlaku," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, sebuah treler hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit lalu terbalik.

“Tiada kecederaan serius yang dialami pemandu treler berkenaan," katanya.

Sinar Harian, November 16, 2013

Polis edar gambar anggota kumpulan 'Tuhan Harun' untuk bantu siasatan

Polis edar gambar anggota kumpulan 'Tuhan Harun' untuk bantu siasatan

KUANTAN:  Seramai 27 individu yang dipercayai pengikut  ajaran sesat 'Tuhan Harun' diminta tampil membantu pihak polis bagi menyelesaikan kes tembak Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata mereka terbabit diminta tampil di mana-mana balai polis bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes itu.

"Tujuh daripada mereka termasuklah pengasas ajaran sesat itu iaitu Harun Mat Saat, 47, Husin Ismail, 43, Pius Anahong@ Mahdi Abdullah, 40, Mohd Khalilie Zazali, 31, Syahiszam Soid, 40, Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28, dan Azida Mohd Zol, 30 tahun, yang telah dikeluarkan waran tangkap sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Mereka yang lain ialah Mohd Hafizuddin Mohd Azam, 27, Mohamad Tirmidzi Othman, 17, Hashim Zakaria, 38, Farhaien Othman, 22, Lukman Harun, 20, Mohd Ghazali Fitri Mohd Azam, 25, Muhammad Nazrul Zakaria, 38.

Mohd Rozi Akasah, 38, Shamsul Amri Abu Hassan, 44, Saufi Harun, 18, Norhafizah Mohd Azam, 28, Mohd Edham Mohd Nizam, 18, Khairul Amir Akasah, 34, Sharizal Shamsuddin, 32, Muhammad Harun, 21, Norhairi Harun, 41, Mahni Harun, 12, Shazliana Mokhtarudin, 29, Othman Abdullah, 48, dan Kheairus Ali, 47.

"Sebelum ini polis meminta 31 pengikut ajaran itu tampil membantu siasatan, empat daripada mereka telah tampil membantu pihak polis pada 12 dan 13 Nov lepas," katanya.

Pihak polis hari ini turut mengedarkan 27 gambar mereka terbabit kepada pihak media. Mohd Jasmani berkata mereka terbabit tidak perlu takut untuk tampil membantu siasatan.

Pengikut Tuhan Harun
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan pengikut ajaran itu juga diminta membantu pihak polis," katanya.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifudin Ab Ghani sebelum ini berkata pihak polis percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang ditembak bermotifkan dendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

Dalam kejadian Ahad lepas pada jam 1.55 petang, Mohd Raffli, 49, maut selepas ditembak tiga das oleh seorang daripada tiga suspek yang datang berjumpa mangsa di kediamannya di Indera Mahkota 2, Kuantan.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Raffli sedang mengendalikan beberapa kes besar termasuk memantau kegiatan pengikut fahaman Syiah serta ajaran Tuhan Harun.


BERNAMA