Sunday, 10 November 2013

Laporan nahas Genting siap, sedang diteliti

Panel penasihat teliti laporan nahas Genting
Panel penasihat teliti laporan nahas Genting

KUALA LUMPUR - Panel Penasihat Bebas kepada Menteri Pengangkutan mengenai kemalangan bas ulang-alik di Jalan Genting Highlands–Kuala Lumpur akan bermesyuarat minggu depan untuk menilai laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Pengerusi panel itu, Tan Sri Lee Lam Thye berkata pihaknya telah menerima laporan berkenaan daripada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru-baru ini.

Beliau berkata panel itu akan menilai laporan tersebut mengikut lima aspek rujukan termasuk meneliti dan mengkaji laporan-laporan siasatan yang dikemukakan MIROS dan agensi kerajaan lain serta pihak yang terlibat seperti Genting Berhad.

"Panel juga akan mendapatkan keterangan, penjelasan lanjut dan maklumat daripada agensi kerajaan dan pihak yang berkaitan jika perlu untuk membolehkannya menjalankan siasatan tersendiri.

"Selain itu, panel akan mengesyorkan cadangan penambahbaikan bagi mengelakkan risiko kemalangan dalam keadaan yang serupa pada masa-masa hadapan bukan sahaja untuk kemalangan di Genting Highlands tetapi seluruh negara," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Lee berkata panel itu akan mencadangkan rangka kerja yang bersesuaian untuk melaksanakan cadangan penambahbaikan yang disyorkan Panel Penasihat Bebas berkenaan.

Beliau berkata panel itu juga akan membentangkan laporan keseluruhan Panel Penasihat Bebas kepada Menteri Pengangkutan untuk menilai laporan MIROS dan menyerahkan laporan panel itu kepada Mmenteri dalam tempoh dua bulan dari tarikh penubuhannya.

Panel itu yang ditubuhkan pada 29 Okt turut dianggotai Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu, Presiden Institusi Jurutera Malaysia Choo Kok Beng, Presiden Chartered Institut of Logistics and Transport Malaysia Datuk Abd Radzak Abd Malek, Pakar Jurutera Perunding Mekanikal dan Kenderaan Bertauliah Datuk Foong Choy Chye dan Pakar Jurutera Perunding Lebuhraya/Juruaudit Keselamatan Jalan Bertauliah Aik Siaw Kong.

Lee berkata panel itu yang dianggotai pakar dalam bidang masing-masing juga bersetuju melaksanakan tanggungjawab berdasarkan keprihatin terhadap isu keselamatan jalan raya dan kehilangan nyawa akibat kemalangan.

"Menteri Pengangkutan ingin melihat Panel ini melaksanakan tanggungjawab tanpa pilih kasih terhadap mana-mana pihak dalam mencapai objektifnya selain memastikan ketulusan dalam semua aspek penyiasatan oleh pelbagai pihak berkuasa berkenaan," katanya.

Beliau berkata selepas menyemak dan menilai semua laporan yang dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan, perakuan dan cadangan penambahbaikan daripada panel itu bukan sahaja tertumpu kepada kemalangan di Genting, malah akan merangkumi semua kawasan panas di seluruh negara yang melibatkan sistem pengangkutan awam.

Dalam nahas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lepas, sebanyak 37 orang maut manakala 16 lagi cedera.

BERNAMA

Hilang dara di hotel bajet

Hilang dara di hotel bajet
Gadis berusia 19 tahun dan teman lelakinya berusia 22 tahun dibawa ke Pejabat Agama Dungun selepas ditangkap khalwat dalam sebuah bilik hotel di Dungun.


DUNGUN – Perkenalan seorang gadis yang bekerja sebagai pembantu restoran makanan segera di daerah ini dengan seorang jejaka, membawa detik hitam apabila kesucian dirinya dinodai kekasih.

Detik mendukacitakan itu berlaku di sebuah hotel bajet, dekat sini, apabila gadis berusia 19 terbabit menjadi mangsa kerakusan hubungan luar nikah dilakukan kekasihnya sendiri.

Rahsia gadis terbabit terbongkar dalam serbuan sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Agama Syariah Dungun, kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin selepas menerima maklumat mengatakan pasangan menyewa bilik hotel itu berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketika serbuan, pasangan lelaki itu dikatakan membuka pintu, manakala kekasihnya pula difahamkan sempat masuk ke bilik air untuk mandi.

Hasil soal siasat mendapati, mereka tidak mempunyai hubungan muhrim, sebaliknya lelaki itu datang dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk bertemu kekasihnya yang dikenali setahun lalu sebelum menginap di hotel tersebut.

Lelaki berasal dari Tanah Merah, Kelantan yang bekerja sebagai pekerja swasta di Rawang, Selangor itu sanggup datang ke Dungun untuk melampiaskan nafsu bersama kekasihnya yang juga dari Kelantan, malah mereka dikatakan baru pertama kali memadu asmara dan tidur bersama.

Akibat perbuatan terkutuk itu, pasangan terbabit akhirnya ditahan bagi siasatan lanjut kerana melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 29 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Turut dirampas, coli dan seluar dalam wanita itu untuk dijadikan bahan kes dalam prosiding pendakwaan pada awal Disember nanti.

Sinar Harian