Sunday, 10 November 2013

Lebih 100 mayat bergelimpangan di Filipina

Lebih 100 mayat bergelimpangan

MANILA - FILIPINA. Lebih 100 mayat bergelimpangan di jalan raya di Tacloban selepas taufan terkuat di dunia yang membawa angin kencang berkelajuan 315 kilometer sejam membadai wilayah Leyte, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Timbalan Pengarah Penerbangan Awam Filipina, John Andrews memaklumkan ratusan penduduk juga cedera di wilayah itu yang dilaporkan paling teruk terjejas.

"Angka kematian mungkin meningkat berikutan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan," katanya pada laporan AFP.

Dalam perkembangan lain, lebih 100,000 penduduk kampung di Vietnam diarah berpindah ke pusat penempatan sementara selepas Haiyan dijangka membadai negara itu, awal pagi esok.

Media tempatan melaporkan kebanyakan sekolah di kawasan dataran rendah di tengah Danang dan wilayah Quang Ngai telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Sumber: Sinar Harian

Polis keluarkan foto fit suspek kes culik bayi lelaki warga British

Kanak-kanak diculik jalani pemeriksaan kesihatan
Freddie Joseph, kanak-kanak lelaki Britain berusia setahun lapan bulan yang ditemui semula tengah Sabtu selepas diculik petang Jumaat.

Polis keluarkan foto fit suspek kes culik bayi lelaki warga British

KUALA LUMPUR:  Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengeluarkan foto fit (gambaran) suspek yang terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak British di Bangsar semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihak polis kini sedang mengesan suspek yang berusia lingkungan 30-an.

"Pihak polis menolak kemungkinan bahawa motif penculikan adalah untuk mendapatkan wang tebusan kerana ianya tidak masuk akal. Tiada siapa ingin menculik kanak-kanak berusia 20 bulan kerana kanak-kanak pada usia ini susah untuk dikawal," kata Ku Chin Wah.

Ketika disoal pemberita adakah bapa kepada kanak-kanak tersebut turut berada di dalam senarai suspek memandangkan bapa kanak-kanak tersebut kurang diberi perhatian, Ku berkata pihak polis tidak melihat keperluan untuk segera menyoalnya.

Freddie Joseph, kanak-kanak yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar semalam telah ditemui di Taman Tasik Titiwangsa hari ini oleh seorang pemandu lori Hamid Md Isa, 57, yang juga pesara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang pemandu teksi Haris Mohd Nor, 48, yang kebetulan melalui laluan di Taman Tasik Titiwangsa.

Semasa kejadian, mangsa dilarikan seorang suspek lelaki bersama seorang wanita ketika bayi itu bersama ibunya sedang minum petang di halaman rumah mereka.

Astro Awani