Sunday, 10 November 2013

Pembunuh Norazita berjaya ditangkap polis

Pembunuh Norazita berjaya ditangkap polis

KUALA LUMPUR:  Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai Ambank Norazita Abu Talib, 37, dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya pada 23 Okt lepas, telah berjaya ditangkap polis pagi ini.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya apabila beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Ops Cantas Bukit Aman yang dikatakan telah berjaya menangkap suspek di Johor Baharu.



Dalam kejadian pada pukul 6.18 petang itu, Norazita, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Suspek kemudian melarikan sejumlah RM450,000 dari bilik kebal itu.

Rakaman video selama 32 saat, yang dipercayai sedutan CCTV memaparkan insiden itu, telah tersebar dengan meluas di laman sosial ekoran kejadian tersebut..

Astro Awani

10 GRO 'import' di Georgetown ditahan

GEORGETOWN - Terkejut dan takut selepas kegiatan mereka berjaya dihidu polis, 10 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan bertempiaran lari selepas diserbu polis dalam Op Cantas Khas di sini, lewat malam semalam.

Dalam operasi yang dilakukan kira-kira jam 11 malam itu, kesemuanya cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis.

Namun usaha mereka ternyata sia-sia apabila pusat hiburan yang terletak di Jalan Kedah sudah dikepung.

Disebabkan terlalu gementar, ada yang terjatuh ketika melarikan diri dan cedera ringan di bahagian kaki.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan intipan yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, lapan wanita warga Vietnam dan dua wanita warga China yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan ekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.

"Kita turut menahan seorang lelaki yang dipercayai penjaga pusat hiburan ini untuk siasatan lanjut.

"Dalam Op Cantas Khas, kita lebih memfokuskan kepada jenayah pelacuran, perjudian dan sudah semestinya kegiatan kongsi gelap. Kita percaya pusat hiburan seperti ini dilindungi kongsi gelap bagi melancarkan kegiatan kotor mereka " katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan.

Nasir berkata, semua wanita warga asing itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk siasatan lanjut dan dokumentasi.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian