Friday, 8 November 2013

Bunuh: Mahkamah kekalkan sabitan, hukuman mati pasangan kekasih


Bunuh: Mahkamah kekalkan sabitan, hukuman mati pasangan kekasih

Mahkamah Persekutuan di sini Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang wanita dan teman lelakinya kerana membunuh pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Juliana Md Fuzi, enam tahun lepas.


Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara menolak rayuan terakhir Noralina Ahmad Dasuki, 26 dan Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 31, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Julai 2009, Noralina, bekas pelajar Pusat Pengurusan dan Teknologi Lanjutan di Shah Alam, dan Muhammad Khairul, bekas pekerja Astro, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pasangan itu didakwa membunuh Juliana, 20, di sebuah unit Pangsapuri Sunrise, Wisma Indah, Jalan Tun Razak di sini antara pukul 10 malam 23 Mac 2007, dan pukul 8 malam hari berikutnya.

"Kami sebulat suara mendapati bahawa terdapat bukti kukuh untuk menyokong sabitan mereka," kata Arifin yang bersidang bersama-sama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Ramly Ali.

Pada 30 April 2012, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka.

Dalam kejadian itu, Juliana yang merupakan pelajar tahun tiga Diploma Pengurusan Perniagaan kolej berkenaan ditemui mati dijerut menggunakan wayar.

Noralina diwakili peguam Karpal Singh dan Sangeet Kaur Deo manakala Muhammad Khairul oleh peguam Geethan Ram Vincent.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Noraini Mohamed Noor bertindak untuk pihak pendakwaan.

BERNAMA

Keputusan UPSR 2013 akan diumumkan 14 Nov ini

Keputusan UPSR 2013 akan diumumkan 14 Nov ini


Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan diumumkan pada 14 Nov ini, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini.

Kenyataan itu menyebut calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi, pada hari berkenaan.

Selain itu, calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR 2013 melalui khidmat pesanan ringkas mySMS ke 15888.

"Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10 pagi, 14 Nov dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 20 Nov ini," menurut kenyataan itu.

Pada tahun ini, seramai 478,848 calon telah menduduki peperiksaan UPSR di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.

 BERNAMA